[VIDEO] Pembangkang tetap tolak MoU, dakwa rugikan rakyat

A
A
A

KLUANG - Perikatan Nasional (PN) tidak akan berganjak daripada keputusan menolak draf Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai peruntukan pembangkang meskipun kerajaan menawarkan untuk mengemukakan cadangan baharu.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas mahu membantu rakyat tidak ada keperluan untuk mengemukakan sebarang MoU kerana peruntukan wajar disalurkan kepada semua ahli Parlimen.

"Keputusan kita dah jelas, kita tolak MoU sebab ia jelas bertentangan dengan Perlembagaan.

"Belajarlah daripada kita (PN). Kami tunai waktu kita jadi kerajaan, kita bagi (peruntukan) kepada semua, tak mohon pun, tak ada surat pun, jauh sekali MoU.

"Orang kata kita berlapang dada, lagipun pemberian ini kita tak tahu (jumlah) berapa banyak, RM30 juta ke RM300,000 saja ke atau RM30,000 tak tahu sebab MoU itu tidak pula nyatakan.

"Jadi kita takut dengan apa yang dah berlaku cakap bagi kadang-kadang tak bagi atau kalau bagi pun sikit. Itu sebabnya kita anggap tak ada tujuan dan faedah untuk kita buat cadangan balas ini, memandangkan sudah 2 tahun asyik berunding...kalau awak nak makan, dah mati dah. Nasib baik kami masih hidup lagi, bertahanlah, tak apalah ahli Parlimen kita berlapang dada," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi dialog NGO-NGO bersama Abah, di sini pada Jumaat.

Muhyiddin ketika ditemui pemberita selepas sesi dialog NGO-NGO bersama Abah pada Jumaat.
Muhyiddin ketika ditemui pemberita selepas sesi dialog NGO-NGO bersama Abah pada Jumaat.

Pada Khamis Timbalan Perdana Menteri merangkap Ketua Whip Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihak pembangkang boleh mengemukakan cadangan baharu atau maklum balas mengenai draf MoU dan dokumen sedia ada boleh dijadikan asas kepada perbincangan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Fadillah menjelaskan pihaknya masih belum dihubungi pihak pembangkang berkaitan MoU itu.

Sementara itu, ditanya adakah dengan keegoan PN akan merugikan rakyat, Muhyiddin mendakwa, tindakan Kerajaan Perpaduan itu sendiri yang merugikan rakyat.

"Siapa yang merugikan rakyat? Kami? Siapa merugikan - merekalah (kerajaan) pasal tak bagi kepada kami (peruntukan).

"Kawasan kami jaga itu kami tak ada peruntukan, nak tolong bukan duit masuk poket kami contohnya nak baiki sikit jambatan rosak, surau bocor, atau bagi bantuan kebajikan itu boleh tetapkan peraturan.

"Seperti yang kita buat dulu zaman Covid-19, kau buat dulu mana yang boleh. Maknanya mereka tak ada berniat nak bagi tapi bagi syarat mulut tutup, mata jangan buka,"katanya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, wakil rakyat pembangkang akan membantu rakyat sekadar termampu.

"Rakyat susah kita tolong buat apa yang kita termampu buat, jangan salahkan kami sebab tak buat rundingan balas.

"Bagi saya kalau kamu (kerajaan) nak bagi, bagilah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!