Kerajaan Sabah pantau, teliti operasi GISBH
KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah melalui Jawatankuasa Penyelarasan Hal Ehwal Islam Sabah (JaPHEIS) kini memantau dan meneliti operasi GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) untuk memastikan sama ada mempunyai kaitan dengan fahaman sesat yang diharamkan di negeri ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, JaPHEIS yang dipengerusinya turut disertai Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) serta agensi lain berkerjasama dalam menilai perkara itu.
Beliau berkata, semua agensi terbabit termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia berbincang secara berkala berhubung isu hal ehwal agama Islam di Sabah termasuk berkaitan halal, akidah dan beberapa isu lain.
"Pejabat Mufti Sabah sebelum ini telah mewartakan ajaran yang salah, menyeleweng atau sesat di negeri ini termasuk syarikat Rufaqa' Corporation Sdn Bhd. Sebelum ini disebut sebagai Rufaqa' tetapi adakah ia sama dengan organisasi ini (GISBH) atau sebaliknya kita belum boleh putuskan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam di Sabah beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau rapat kegiatan GISBH dan akan memaklumkan sebarang ketetapan yang bakal diambil oleh JaPHEIS.
Pada 11 September lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH dan menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun.
Ujian saringan kesihatan terhadap 392 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISBH dalam Op Global itu mendapati mereka mengalami penderaan fizikal dan emosi serta eksploitasi buruh termasuk dipaksa bekerja menjual barang.
Sementara itu, tinjauan Bernama di beberapa premis perniagaan dipercayai kendalian GISBH antaranya sebuah bakeri di Sembulan, Kota Kinabalu dan sebuah restoran di Putatan mendapati operasi berjalan seperti biasa.
Bagaimanapun, sejak isu GISBH timbul, premis itu yang sebelum ini dilihat penuh kerana menawarkan harga berpatutan semakin kurang pelanggan.
Pekerja premis yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad berkata situasi itu turut memberikan kesan kepada perniagaan dan berharap situasi itu akan diselesaikan secepat mungkin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!