Dua bekas joki rogol gadis dalam kereta, dijel 11 tahun, dua sebatan

Mahkamah Sesyen menjatuhi hukuman penjara 11 tahun dan dua sebatan terhadap dua bekas joki kerana merogol seorang gadis berusia 18 tahun dalam sebuah kereta pada Mei tahun lalu.
Mahkamah Sesyen menjatuhi hukuman penjara 11 tahun dan dua sebatan terhadap dua bekas joki kerana merogol seorang gadis berusia 18 tahun dalam sebuah kereta pada Mei tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tindakan dua bekas joki merogol seorang gadis berusia 18 tahun dalam sebuah kereta pada Mei tahun lalu mengundang padah apabila Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, menjatuhi hukuman penjara 11 tahun dan dua sebatan.

Hakim, Izralizam Sanusi menjatuhi pemandu lori, B Satia, 27, dan rakannya, T Khanesen, 31, yang kini bekerja sebagai penyelia tapak pembinaan selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

“Kedua-dua tertuduh memohon dikenakan perintah bon berkelakuan baik namun mahkamah berpandangan ia tidak wajar dan tidak sesuai untuk diberikan.

“Oleh itu mahkamah mengenakan hukuman pemenjaraan selama 11 tahun dengan dua sebatan terhadap kedua-dua tertuduh,” kata Izralizam.

Pada 24 Mei 2023, Satia dan Kanesen didakwa merogol bakal pengantin yang ketika kejadian berusia 18 tahun, dalam kereta jenis Honda City di kawasan pusat hiburan, Jalan Tun Razak, Maluri di sini, masing-masing pada jam 5.06 dan 5.20 pagi, 13 Mei tahun sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, peguam, Muhammad Amin Abdullah dan K Ponnusamy, masing-masing mewakili Satia dan Kanesen merayu agar kedua-dua tertuduh tidak dipenjara dan hanya dikenakan bon berkelakuan baik.

Ponnusamy merayu mahkamah mengambil kira, kedua-dua tertuduh merupakan penanggung utama keluarga dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin membantah permohonan hukuman berbentuk bon berkelakuan baik kerana kesalahan merogol merupakan kes yang serius.

“Pihak pendakwaan memohon hukuman berat sebagai pengajaran terhadap kedua-dua tertuduh supaya mereka dipertanggungjawabkan atas kesalahan yang dilakukan.

“Ia akan menjadi satu bentuk hukuman dan yang paling penting demi melindungi wanita,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Izralizam membenarkan permohonan penangguhan hukuman namun menaikkan jumlah jaminan daripada RM9,000 kepada RM11,000, dengan syarat notis rayuan difailkan dengan segera.

Dalam prosiding terbabit, seramai 14 saksi pendakwaan dan tujuh saksi pembelaan termasuk kedua-dua tertuduh dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!