Apa rasional nak laksana semula PPSMI?

Gambar kecil: Rafiei Mustapha
Gambar kecil: Rafiei Mustapha
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menyifatkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang pernah dilaksanakan pada tahun 2002 ternyata gagal meningkatkan prestasi tiga mata pelajaran itu.

Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustafa mempersoalkan rasionalnya pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berhasrat memperkenalkan semula program yang dikatakan lebih banyak menimbulkan masalah.

Menurutnya, PPSMI bukan sahaja menerima tentangan majoriti rakyat malah golongan cendekiawan serta mengembalikan tekanan kepada guru yang kini lebih selesa menggunakan bahasa Melayu untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

"Langkah tersebut akan memberi tekanan kepada guru yang diberi pendedahan menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda masing-masing bagi menjamin penyampaian berkesan oleh guru dan penerimaan serta pemahaman murid terhadap subjek Sains atau Matematik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafiei berkata, pelaksanaan semula PPSMI adalah langkah mengundur yang merugikan negara dalam konteks kewangan dan perlaksanaan Dasar Pendidikan Negara.

Menurutnya, guru pula akan terkesan kerana perlu melengkapkan diri dengan kemahiran bahasa Inggeris bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dilaksanakan secara berkesan.

"Murid juga akan terkesan terutama di luar bandar kerana tahap penguasaan bahasa itu agak rendah.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kerajaan ulangi kesilapan jika PPSMI dilaksanakan semula'

PPSMI pendorong kejayaan saya: Syed Saddiq

PPSMI: Kerajaan ambil langkah terkebelakang

Pelaksanaan PPSMI belum muktamad: Wan Azizah

"Keadaan ini akan menjejaskan prestasi dalam Sains dan Matematik yang berpunca daripada kelemahan bahasa Inggeris. Sebenarnya sudah terbukti negara maju seperti Jerman, Perancis, China, Jepun dan Korea mencipta kecemerlangan Sains dan Matematik melalui bahasa ibunda mereka," katanya.

Sehubungan itu, Pas Negeri Sembilan menyarankan kerajaan memberi penekanan kepada program memartabatkan bahasa Melayu dan memantapkan penguasaan bahasa Inggeris (MBM atau MBI) yang menjadi dasar pendidikan dan perlu dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!