Pemilik premis sentiasa waspada elak barang kemas dilarikan

Tinjauan aspek keselamatan di kaunter kedai emas yang turut menggunakan kaca yang berkualiti di ruang rak pameran. Gambar kecil: Laporan Sinar Harian
Tinjauan aspek keselamatan di kaunter kedai emas yang turut menggunakan kaca yang berkualiti di ruang rak pameran. Gambar kecil: Laporan Sinar Harian
A
A
A

JOHOR BAHRU - Insiden tular individu berpurdah melarikan rantai emas dalam satu kejadian di Selangor, dilihat umpama amaran awal kepada pemilik kedai emas lain supaya sentiasa berwaspada agar insiden sama tidak berulang pada masa akan datang.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai emas di sekitar bandar raya ini mendapati rata-rata pemilik kedai mengakui sudah pun mengambil langkah sewajarnya seperti menambah kamera litar tertutup, bilangan pengawal atau sebagainya bagi mengelakkan kejadian seumpamanya berulang.

Bagi pemilik kedai emas, yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 60, berkata, buat masa ini, dia tidak bercadang untuk menambah bilangan CCTV atau pengawal di kedai emasnya.

Menurutnya, ketika ini keadaan semasa di kawasan persekitaran premisnya juga agak selamat biarpun berada hampir dengan jalan besar.

"CCTV ada, guard pun ada, jadi tak payah tambah apa-apa lagi, saya rasa semuanya sudah cukup.

"Kawasan ini pun ramai orang dan sesak dengan kenderaan, kalau nak buat macam di Selangor tu susah juga kalau dia (perompak) nak lari," katanya.

Seorang lagi pemilik kedai emas yang hanya mahu dikenali sebagai Kathy berkata, insiden sedemikian tidak pernah lagi berlaku di kawasan premisnya.

Bagaimanapun katanya, dia sering mengambil langkah berjaga-jaga terhadap kesemua pelanggan yang datang ke kedainya dan memastikan hanya yang 'membeli' barangan emas sahaja yang boleh memegang barangan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Saya akan pastikan hanya pelanggan yang betul-betul 'genuine' sahaja dan telah membuat bayaran sahaja yang boleh tengok, pegang atau mencuba emas (cincin, gelang, rantai) yang dipamerkan.

"Tak bayar, tak boleh tengok. Kita pun ada CCTV (kamera litar tertutup) dan juga pengawal yang jaga kedai," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemilik kedai emas yang hanya mahu dikenali sebagai Vivian berkata, dia berpuas hati setakat ini dengan ciri-ciri keselamatan yang ada di kedainya.

Katanya, premisnya juga ada mengupah pengawal keselamatan yang bertugas bagi memastikan keselamatan kedainya itu.

"Setakat ini, saya memang puas hati dengan safety (tahap keselamatan) di kedai emas saya.

"Harapan saya biarlah perkara ini berterusan dan seterusnya menjadikan kedai saya selamat untuk dikunjungi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!