Lelaki dituduh terima rasuah RM15,000 projek Petronas Rapid

Mohamed Huzaini (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, bagi menghadapi kes rasuah, tujuh tahun lalu.
Mohamed Huzaini (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, bagi menghadapi kes rasuah, tujuh tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan menerima rasuah RM15,000, berhubung tuntutan bayaran kerja penarikan kabel projek Petronas Rapid di Johor, tujuh tahun lalu.

Mohamed Huzaini Mohamed Hussein, 56, yang bekerja sendiri, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima wang rasuah berjumlah RM15,000 melalui akaun bank miliknya daripada seorang pengarah syarikat sebagai dorongan untuk melicinkan proses tuntutan bayaran bagi kerja-kerja penarikan kabel projek Petronas Rapid di Pengerang, Johor.

Kesalahan didakwa dilakukan di Metropiltan Square, Petaling Jaya di sini pada 17 Ogos 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Irna Julieza Maaras.

Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri sekali setiap bulan di pejabat SPRM di sini.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 28 Oktober depan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!