[VIDEO] GISBH: Seorang lagi pembantu pengajar madrasah didakwa amang seksual

A
A
A

SEREMBAN - Seorang lagi pembantu pengajar sebuah madrasah yang mempunyai kaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Kuala Pilah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat kanak-kanak tahun lalu.

Muhammad Fawzun diiring polis ketika hadir ke mahkamah
Muhammad Fawzun diiring polis ketika hadir ke mahkamah

Tertuduh, Muhammad Fawzun Azim Ismail, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut empat pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibacakan berasingan, tertuduh telah melakukan suatu amang seksual fizikal dengan melakukan sentuhan fizikal secara seksual terhadap empat kanak-kanak lelaki berusia 10 hingga 13 tahun.

Kesalahan itu dilakukan sekitar tahun 2023 di sebuah madrasah di Kuala Pilah dan tertuduh turut berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mengikut pertuduhan itu, dia didapati melakukan suatu amang seksual fizikal ke atas mangsa berusia 12 dan 13 tahun dengan membuatkan kanak-kanak tersebut melakukan sentuhan fizikal secara seksual terhadap dirinya bagi maksud seksual.

Kesalahan berkenaan dilakukan sekitar tahun 2023 dan di lokasi sama.

Bagi kedua-dua seksyen berkenaan, jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebatan.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi tidak menawarkan jaminan, namun sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan beliau mencadangkan RM30,000 bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminannya dikurangkan kerana baharu menyambung pengajian di sebuah GiatMARA dalam kursus animasi 3D.

Surita bertanya, sama ada tertuduh ada membawa dokumen kemasukannya ke pusat pengajian terbabit, namun dia memberitahu tidak ada.

Bapa tertuduh pula memaklumkan segala dokumen surat menyurat ada di rumah dan dalam keadaan sebak merayu wang jaminan anaknya dikurangkan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM12,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dengan syarat tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan dan mangsa.

Tertuduh turut diminta melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah dan boleh dihubungi pada bila-bila masa manakala sebutan semula kes 30 Oktober depan.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan tiga pembantu pengajar di madrasah sama turut berdepan pertuduhan sama.

Tertuduh Muhammad Habib Noh Mohd Zairi, 21, Muhammad Khunnais Fathie Khabil, 20, dan Ahmad Nadzful Izham Azizan, 22 masing-masing berdepan lima, enam serta tiga pertuduhan bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!