KKM sahkan kes pertama warganegara Malaysia positif koronavirus

Dr Dzulkefly ketika bercakap pada sidang media khas perkembangan koronavirus di sini hari ini. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Dr Dzulkefly ketika bercakap pada sidang media khas perkembangan koronavirus di sini hari ini. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki berusia 41 tahun menjadi rakyat Malaysia pertama positif koronavirus disahkan semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, selain lelaki warga Selangor itu, satu lagi kes terbaru positif virus berkenaan adalah lelaki warga emas berusia 63 tahun dari Wuhan, China.

Beliau berkata, rakyat Malaysia yang dijangkiti koronavirus itu mempunyai sejarah perjalanan ke Singapura pada 16 hingga 23 Januari lalu dan mula mendapat gejala pada 29 Januari dan mendapatkan rawatan ke sebuah hospital swasta.

"Mangsa menghadiri mesyuarat yang turut dihadiri beberapa delegasi antarabangsa termasuk dari China.

"Selepas pulang ke Malaysia, mangsa mengalami batuk dan demam. Dia kemudiannya dirujuk ke Hospital Sungai Buloh pada 2 Februari lalu dan hasil ujian yang dilakukan telah disahkan positif koronavirus semalam.

"Mangsa kini dalam keadaan stabil. Kita kini sedang bekerjasama dengan pihak kesihatan negara jiran tersebut untuk mengenal pasti 'contact tracing'.

"Keluarga terdekat mangsa juga dalam pemantauan dan kita juga lakukan 'contact tracing'," katanya dalam sidang media khas perkembangan terkini koronavirus di sini hari ini.

Mengulas lanjut, bagi kes melibatkan lelaki dari Wuhan, Dr Dzulkefly berkata, warga emas itu tiba di KLIA pada 18 Januari lalu dan mula mengalami demam ringan pada 23 Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur. Kes telah dimaklumkan kepada KKM dan dia diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemantauan (home surveillance) untuk tempoh 14 hari.

"Pada 2 Februari, demam masih berterusan dan beliau telah dimasukkan ke HKL bagi menerima rawatan lanjut. Ujian makmal positif 2019-nCoV (koronavirus) semalam. Pesakit kini berada dalam wad isolasi dan dalam keadaan stabil," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kedutaan Malaysia terus pantau baki rakyat Malaysia di Wuhan

Tambah beliau, KKM melakukan pemantauan terhadap keluarga terdekat mangsa warganegara Malaysia dan akan diletakkan dalam keadaan 'home surveillance' dalam tempoh 14 hari.

Ujar beliau, KKM juga berdepan cabaran dalam mengenal pasti 'contact tracing' mangsa dari Wuhan dan kini usaha tersebut diletakkan sebagai keutamaan dalam siasatan yang dibuat.

"Kita sebenarnya memang cuba mendapatkan semaksima mungkin 'contact tracing' dan siasatan sedang dilakukan secara lebih serius. Itu yang menjadi cabaran untuk mengetahui dan mengesan laluan serta perjalanan 'contact' yang telah dilakukan mangsa," katanya.

No Image Caption

Setakat semalam, KKM melaporkan tiada pertambahan kes positif koronavirus dikesan di Malaysia dalam tempoh lebih tiga minggu.

Semua kes positif sebelum ini membabitkan warganegara China, masing-masing tiga kes disyaki (PUI) dan lima individu dalam kalangan kontak rapat.

Jumlah terkumpul kes PUI bagi koronavirus adalah 192 orang iaitu 105 rakyat tempatan, China (82 orang) dan masing-masing satu warga Australia, Korea, Jordan, Brazil dan Thailand.

Tiga daripada keseluruhan PUI itu disahkan positif virus itu, 173 kes negatif dan 16 masih menunggu keputusan makmal.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada cadangan sekat warga China kecuali dari Wuhan, Wilayah Hubei

Kes PUI antara lain membabitkan 122 rakyat Malaysia dan China (86 orang) manakala Australia, Korea, Jordan, Brazil serta Thailand, masing-masing seorang.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Dzulkefly berkata, status 34 rakyat Malaysia masih berada di Wuhan belum dapat dipastikan.

Bagaimanapun beliau percaya masalah tersebut akan ditangani oleh Kementerian Luar Negeri.

"Kita pun tidak menjangkakan masalah logistik akan menjadi halangan misi membawa pulang rakyat kita di sana. Ia di luar kemampuan KKM. Saya yakin ini akan ditangani Kementerian Luar Negeri dan akan dibawa ke Kabinet," katanya.

Novel Coronavirus
Novel Coronavirus

Seramai 34 rakyat Malaysia yang sepatutnya dijadualkan pulang bersama 107 yang lain dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana hari ini terpaksa berada di Wuhan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kenyataannya berkata, sebilangan rakyat itu tidak dapat meninggalkan Wuhan kerana masalah logistik.

"Sebab utama adalah mereka berada di luar bandar Wuhan dan kesukaran mendapatkan kenderaan menuju ke bandar Wuhan atau ke lapangan terbang," katanya.

Menurutnya, misi tersebut menggunakan pesawat Air Asia AK 8265 daripada Wuhan, China telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 6 pagi tadi dengan membawa pulang 133 orang.

"Jumlah itu termasuk lapan petugas misi, enam pegawai Kedutaan Besar Malaysia dan 12 kru penerbangan," katanya.

Beliau berkata, sebaik mendarat mereka dibawa menaiki bas ke Unit Kecemasan Udara (ADU) untuk melalui tapisan kesihatan.

"Daripada 107 yang dibawa pulang dari Wuhan, seramai dua individu tidak melepasi tapisan kesihatan dan telah dihantar ke Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!