Malaysia kecam serangan guna peranti komunikasi di Lubnan - Anwar

Anwar beramah mesra dengan jemaah selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Darussalam Puchong Kampung Batu 13 1/2 Puchong hari ini. Foto Bernama
Anwar beramah mesra dengan jemaah selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Darussalam Puchong Kampung Batu 13 1/2 Puchong hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUCHONG - Malaysia mengecam serangan menggunakan alat kelui dan peranti komunikasi di Lubnan di baru-baru ini, yang dipercayai didalangi oleh Israel.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutuk serangan tersebut turut menyifatkan ia sebagai tindakan amat tidak berperikemanusiaan.

"Serangan ini, bukan ditujukan kepada pasukan tentera, tetapi tindakan yang tidak berperikemanusiaan, kerana melibatkan wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Darussalam di sini, hari ini.

Agensi berita Anadolu melaporkan sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh dan 3,250 lagi cedera pada Selasa dan Rabu akibat letupan yang menyasarkan ribuan peranti komunikasi tanpa wayar di seluruh Lubnan.

Kementerian Luar dalam kenyataan semalam memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Beirut sedang memantau perkembangan secara rapat dan berhubung secara aktif dengan pihak berkuasa tempatan.

Selain itu, Wisma Putra turut menggesa semua rakyat Malaysia di Lubnan agar sentiasa mengikuti perkembangan terkini, mengambil langkah berjaga-jaga, dan mematuhi nasihat perjalanan daripada pihak berkuasa tempatan.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau memandang positif langkah agresif Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang menurunkan kadar faedah sebanyak setengah mata pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Rabu lepas.

"Keputusan Fed itu kadang-kala ada kesan dan kalau dia beri potongan, itu beri laluan kepada pengukuhan Ringgit yang sedang berlaku. Alhamdulillah.

Artikel Berkaitan:

"Walapun kadang-kadang rakan kita di pihak pembangkang tak nampak (pengukuhan Ringgit), tapi bila Ringgit lemah cemuh, caci berterusan, kita tetap ucap Alhamdulillah (dengan pengukuhan Ringgit),” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!