Pasang bendera Malaysia elak kenderaan Malbatt diserang - Khaled Nordin

Mohamed Khaled Foto Bernama
Mohamed Khaled Foto Bernama
A
A
A

KLUANG - Insiden serangan terhadap kenderaan Batalion Pengaman Malaysia (Malbatt) 850-11di Lubnan pada Rabu, mungkin boleh dielakkan dengan meletakkan bendera Malaysia pada kenderaan berkenaan.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kejadian dipercayai berlaku ketika pasukan pengaman itu melalui sebuah kawasan bagi menghadiri satu mesyuarat.

Katanya, ketika melalui kawasan tersebut, kereta peronda Malbatt telah dibaling dan menyebabkan beberapa kerosakan.

“Daripada laporan yang saya terima, memang ada insiden kereta peronda Malbatt dibaling dan kawasan yang dilalui itu bukan kawasan ditugaskan tapi kerana ada mesyuarat dalam kawasan itu.

“Kawasan itu sebenarnya dipertanggungjawabkan kepada Itali dan memang kawasan itu penduduknya sangat hostile dengan United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) yang dikelolakan oleh Itali... jadi, apabila diberitahu kita datang dari Malaysia tindakan itu dihentikan dan semua anggota kita selamat.

“Kita memang kadang-kadang diminta hadir dalam kawasan lain, kita kena hati-hati dan letak bendera Malaysia apabila keluar,” katanya kepada pemberita.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika menghadiri Mini Karnival Tentera Darat 2024 di sini, pada Khamis.

Dalam insiden Rabu lalu, semua anggota trup Malbatt 850-11 dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan selepas kenderaan yang dinaiki tiga orang pegawai dan tujuh anggota lain-lain pangkat, diserang orang awam.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, kesemua mereka dalam perjalanan pulang ke Kem Marakah Malbatt 850-11 setelah selesai melaksanakan penugasan force protection di Kem Shama, Markas UNIFIL

Sementara itu Mohamed Khaled berkata, pihaknya akan menunggu laporan rasmi daripada pasukan pengaman negara di sana sebelum siasatan dibuat berhubung perkara berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!