Pencari madu lebah parah diserang beruang

Seorang lelaki cedera parah akibat diserang beruang ketika mencari madu lebah di kawasan hutan paya. Foto hiasan 123RF
Seorang lelaki cedera parah akibat diserang beruang ketika mencari madu lebah di kawasan hutan paya. Foto hiasan 123RF
A
A
A

BANDAR PERMAISURI - Seorang lelaki cedera parah akibat diserang beruang ketika mencari madu lebah di kawasan hutan paya Sungai Bari dekat Kampung Bukit Putera, Chalok di sini petang semalam.

Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, mangsa Amirul Ismail, 27, cedera di bahagian paha kanan dan kedua-dua tangannya.

Abang mangsa Mohd Redzuan, 35, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu apabila melihat adiknya datang ke arahnya dalam keadaan berlumuran darah.

"Sebelum itu saya ada terdengar bunyi beruang, tetapi tidak menyangka rupa-rupanya bunyi haiwan itu sedang menyerang Amirul.

"Dia beritahu saya kejadian berlaku ketika dia sedang berjalan seorang diri di tempat kejadian tanpa menyedari mamalia itu berada di atas pokok berdekatan sebelum ia terjun di hadapannya lalu menyerang," katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Mak Som dekat Chalok di sini.

Mohd Redzuan bergegas membawa adiknya yang cedera parah keluar dari lokasi kejadian dengan menaiki bot sebelum dihantar ke Hospital Setiu untuk rawatan.

"Amirul kini terpaksa dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu berikutan kecederaan dihadapinya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau meminta mereka yang terlibat tampil membuat laporan dan dalam masa sama siasatan turut dijalankan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!