Bunga Raya 7s wanita tekad lebih garang di Hangzhou

Mohd Faiz bersama pemain Bunga Raya 7s wanita negara yang menggalas cabaran Siri Kedua Kejuaraan Ragbi 7s Asia Hangzhou 2024 di China.
Mohd Faiz bersama pemain Bunga Raya 7s wanita negara yang menggalas cabaran Siri Kedua Kejuaraan Ragbi 7s Asia Hangzhou 2024 di China.
A
A
A

SKUAD ragbi tujuh sebelah wanita negara (7s) menyasarkan kedudukan lebih baik apabila menyingkap Siri Kedua Kejuaraan Ragbi 7s Asia Hangzhou 2024 di China.

Itu tekad pengendali skuad ragbi 7s wanita negara, Mohd Faiz Samsukhidir selepas pasukan Bunga Raya 7s berpeluang melakukan persiapan lebih rapi dalam memantapkan cabaran pada kejuaraan berprestij Asia tersebut.

"Alhamdulillah, persiapan untuk Siri Kedua Kejuaraan Ragbi Asia di Hangzhou kali ini lebih baik kerana pasukan dapat lebih masa sedikit dari Siri Pertama di Incheon, Korea Selatan.

"Kali ini tempoh lebih kurang lapan hari telah dimanfaatkan sebaik mungkin dalam mempersiapkan pasukan berbanding tiga hari sebelum ini.

"Selain itu, kehadiran semula pemain senior Norfarahana Abd Aziz, saya percaya mampu menambah lagi kekuatan skuad Bunga Raya 7s negara," katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Sebagai rekod anak buah Mohd Faiz mengakhiri edisi Siri Pertama Kejuaraan Ragbi Asia Incheon 2024, Korea Selatan pada kedudukan ketujuh.

Ditanya mengenai cabaran kali ini Mohd Faiz berkata, pengalaman gergasi Asia seperti Hong Kong, Jepun dan UAE (Emiriah Arab Bersatu) sekali lagi akan menguji karakter pemain-pemain wanita negara.

"Hong Kong dan UAE pernah menewaskan kita semasa di Korea Selatan sebelum ini, namun kita telah memperkemaskan beberapa elemen yang saya percaya pemain-pemain negara mampu kembali memberikan tentangan di Hangzhou."

Artikel Berkaitan:

Siri Kedua Edisi Hangzhou, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Hong Kong, Jepun dan UAE manakala China, Thailand, Kazakhstan, Singapura berada dalam Kumpulan C.

Sementara itu, skuad Bunga Raya 7s wanita negara meletakkan sasaran memberikan persembahan lebih berkualiti dalam siri kedua berbanding semasa siri pertama sebelum ini.

"Pemain-pemain bertekad memberikan satu persembahan lebih berkualiti di Hangzhou berbanding di Incheon bagi mendapatkan mata yang lebih tinggi dalam memastikan Malaysia mengekalkan status elit untuk kejuaraan tahun hadapan," ujarnya.

Anak buah Mohd Faiz akan menyingkap kempen yang dijadualkan berlangsung di Stadium Ragbi Hangzhou Normal University berdepan Hong Kong, Jepun diikuti UAE pada Sabtu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!