Mahkamah batal writ saman terhadap Datuk Perba

Hanif (dua dari kanan) bersama barisan peguam dan kumpulan Datuk Perba.
Hanif (dua dari kanan) bersama barisan peguam dan kumpulan Datuk Perba.
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat membatalkan writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan wakil daripada Kampung Tanjung termasuk injuksi kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Undang Luak Rembau Ke-22.

Peguam, Datuk Hanif Hasan berkata, keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Wan Fadhilah Nor Wan Idris selepas pihaknya mendapati mahkamah terbabit tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes berkaitan adat dan istiadat di Negeri Sembilan.

Berikutan itu katanya, mahkamah membenarkan permohonan pihak defenden iaitu Datuk Perba Abdul Razak Mohd Yassin untuk membatalkan writ saman daripada Buapak Kampung Tanjong, Datuk Kaya Maharaja Hassan Ab Hamid.

Writ saman berkenaan difailkan Datuk Kaya Maharaja Hassan pada bulan lalu.

Dalam writ saman dan penyataan tuntutan, beliau mendakwa yang defendan telah cuai atau gagal dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai Datuk Perba bagi Luak Rembau yang bertanggungjawab untuk mempengerusikan proses pemilihan Undang Luak Rembau ke-22 menurut aturan adat perpatih.

Turut dinyatakan, pengumuman yang dilakukan oleh defendan pada 4 Julai lalu semasa kerapatan Lembaga di Balai Undang Rembau yang menamakan Kampung Pulau sebagai lubuk benih Undang Luak Rembau ke-22 adalah tidak sah dan menyalahi aturan adat perpatih.

Selain itu, deklarasi bahawa dokumen mengandungi Struktur Organisasi Pentadbiran Institusi Adat Luak Rembau & Tatacara Proses Pemilihan Pesaka Undang Luak Rembau tersebut adalah dokumen yang tidak sah dan diragui keabsahan dan ketulenannya.

Dalam pada itu, Hanif berkata, pihaknya berharap semua pihak menghormati keputusan mahkamah dan menyerahkan kepada pihak berkuasa dan Dewan Keadilan dan Undang untuk isu terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga berharap semua pihak bertenang dan kami telah diarahkan oleh pihak anak guam kami untuk nyatakan supaya perkara ini tidak digembar-gemburkan dan ditularkan di dalam media sosial yang boleh memberi satu persepsi yang salah,"katanya.

Selain Hanif, pihak defenden diwakili Emirul Sarifudin Nor Azmi dan Muhammad Nor Izzat Nordin.

Untuk rekod, pemilihan Undang Luak Rembau diadakan bagi menggantikan penyandangnya, Muhamad Sharip Othman, 83, yang meninggal dunia akibat sakit tua pada 15 Mei lalu.

Pemilihan Undang di Negeri Sembilan dipilih daripada calon-calon daripada Suku Biduanda yang merupakan suku asal di negeri itu.

Terdapat 12 suku dalam sistem Adat Perpatih di Negeri Sembilan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!