Malaysia lolos ke separuh akhir Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia

Shahrain Zameer (tiga dari kiri) merejam bola sambil cuba ditampan pemain India dalam aksi Kumpulan B Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia di China pada Jumaat.
Shahrain Zameer (tiga dari kiri) merejam bola sambil cuba ditampan pemain India dalam aksi Kumpulan B Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia di China pada Jumaat.
A
A
A

MALAYSIA menempah tiket separuh akhir acara regu Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia Astaf 2024 hasil dua kemenangan ke atas Iraq dan India di Pantai Emas Qingdao, Shandong, China pada Jumaat.

Mereka bermula selesa pada sebelah pagi setelah menumpaskan Iraq 15-3, 15-11 ketika membuka tirai edisi kedua tersebut, namun dikerah untuk bekerja keras oleh India sebelum menang 15-9, 13-15, 15-12 dalam aksi petang.

Anak-anak buah Mohd Hafizie Manap perlu memastikan status juara Kumpulan B dengan satu lagi kemenangan terhadap tuan rumah pada pagi Sabtu bagi mengelak bertemu juara 2019, Thailand lebih awal dalam separuh akhir.

Hafizie
Hafizie

India dalam satu lagi perlawanan sesi pagi mengalahkan China 15-5, 15-11, manakala Thailand turut menggenggam slot separuh akhir dengan menumpaskan Filipina 15-4, 15-3 dan Vietnam 15-6, 15-8.

Hafizie memulakan gandingan Wazir Madi, Shahrain Zameer Shamsuddin, Aqil Fawwaz Nasharuddin dan Firdaus Zahari untuk menentang Iraq, namun menukar Fawwaz dengan Akif Ismat Zairi ketika penghujung set kedua berdepan India.

Percaturannya supaya Malaysia dapat meraih mata terus menerusi servis Akif, tetapi satu daripadanya terkandas dan salah faham Shahrain dan Wazir ketika cuba merejam, membolehkan India memenangi set kedua.

Bagaimanapun tiupan angin yang semakin kencang dan hujan pada pertarungan set penentuan tetap mengiringi kemaraan regu negara daripada ketinggalan 5-8.

Artikel Berkaitan:

"Dalam set kedua, India dapat rentak servis mereka yang hanya sekali terkandas dan kami pula kerap melakukan kesilapan menerusi servis Firdaus dan Fawwaz sehingga permainan agak tertekan dan sukar menangkis lawan.

"Saya nekad mengubah taktikal dengan memasukkan Akif untuk membantu servis apabila mata penghujung set kedua itu rapat.

"Dia pun ada pengalaman main kuadran (berempat mirip regu pantai) dalam Sukma (Sukan Malaysia, Ogos lalu)," ujar jurulatih berusia 40 tahun itu.

Menentang China kata Hafizie, regu negara tetap mahu memburu kemenangan tanpa mempedulikan sama ada menerusi 2-0 atau 2-1 yang memungkinkan mereka bertemu Vietnam dalam aksi separuh akhir pada petang Sabtu.

Vietnam yang sebelum ini kalah kepada Thailand, mengejutkan Korea Selatan 15-8, 15-13 dalam satu lagi saingan Kumpulan A.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!