Anwar tiba di Himpunan Keadilan: Suara rakyat, suara keramat

Orang ramai yang hadir bagi menyertai Himpunan Gerakan Rakyat yang diadakan untuk memperingati detik bermulanya gerakan reformasi 26 tahun lalu di Stadium Axiata Arena hari ini. Foto Bernama
Orang ramai yang hadir bagi menyertai Himpunan Gerakan Rakyat yang diadakan untuk memperingati detik bermulanya gerakan reformasi 26 tahun lalu di Stadium Axiata Arena hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Axiata Arena, Bukit Jalil malam ini bagi menyertai Himpunan Keadilan: Suara Rakyat, Suara Keramat yang diadakan untuk memperingati detik bermulanya gerakan reformasi 26 tahun lepas.

Ketibaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 10.17 malam itu disambut pemimpin-pemimpin parti itu seperti Setiausaha Agung, Fuziah Salleh dan Ketua Penerangan, Fahmi Fadzil serta laungan "reformasi" oleh hampir 10,000 hadirin yang memenuhi dewan tertutup itu.

Perdana Menteri dijangka menyampaikan pidato bertajuk "Reformasi dan Masa Depan Malaysia" pada acara kemuncak himpunan itu.

Sejak pukul 6 petang lagi pelbagai pengisian dilakukan untuk himpunan yang bertemakan "Dari Reformasi ke Malaysia Madani", itu termasuk solat maghrib berjemaah dan tahlil, penceritaan sejarah gerakan reformasi, sesi tayangan video khas serta persembahan daripada kumpulan Bunkface.

Tanggal 20 Sept ialah tarikh keramat buat para pejuang reformasi kerana pada waktu itu tercetusnya detik kebangkitan rakyat memperjuangkan keadilan susulan penangkapan Anwar yang lantang menentang pemerintah ketika itu yang didakwa diselubungi rasuah, nepotisme dan kronisme. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!