Anwar tak peduli MoU, mahu tumpu projek rakyat
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak peduli isu memorandum persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan kepada pembangkang sebaliknya akan terus fokus selesaikan masalah rakyat.
Menurutnya, kerajaan akan beri tumpuan untuk selesaikan masalah berkaitan harga barang dan kos sara hidup yang dihadapi rakyat menerusi Belanjawan Madani 2024.
"Memang saya malam ini tidak bercakap sebagai Perdana Menteri, saya cakap sebagai Anwar Ibrahim pejuang reformasi. Lama saya tidak jawab, lama saya diam.
"Kerana apa? Kerana saya fokus jaga rakyat. Saya tak peduli daripada parti mana, rakyat susah itu tanggungjawab kita," katanya ketika berucap di Himpunan Keadilan Suara Rakyat, Suara Keramat 'Dari Reformasi ke Malaysia Madani' pada Jumaat.
Sebelum ini media melaporkan, Himpunan Keadilan Suara Rakyat, Suara Keramat 'Dari Reformasi ke Malaysia Madani' akan mengimbau segala perih jerih yang dilalui oleh Anwar bersama keluarga dan penyokongnya sebelum diangkat menjadi Perdana Menteri ke-10.
Acara berkenaan diadakan di Stadium Axiata Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula jam 8 malam bagi membawa rakyat menyelusuri sisipan sejarah perjuangan Anwar sejak 30 tahun lalu.
Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan bahawa beliau akan bertolak ke Kedah pada Sabtu untuk melihat sendiri keadaan di sana yang dilanda banjir sejak beberapa hari lalu.
Ujarnya, pada 1 Oktober pula beliau akan ke Kelantan untuk memantau projek yang didakwa tidak terurus.
"Mana yang kata tidak adil? Yang penting dia cakap peruntukan ahli Parlimen. Bagi wang kepada kamu kami adil, bagi wang kepada rakyat kami zalim. Apa saya peduli projek kepada mereka? Saya peduli projek kepada rakyat.
"Sebab itu kita fokus, kita mahu ekonomi kita kuat. Sebentar tadi di jamuan Perbadanan Perbankan Hongkong dan Shanghai (HSBC) 140 tahun di Malaysia dan mereka iktiraf... sejak kita ambil alih kerajaan politik stabil, ekonomi melonjak dan ringgit kukuh.
"Tetapi kita tidak angkuh sebab kita tahu masih ada yang belum selesai, apa dia? Kos sara hidup dan harga barang.
"Sebab itu saya kata Belanjawan Madani tahun ini akan cuba sedaya upaya menyelesaikan harga barang dan kos sara hidup," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!