Empat senior perkuat cabaran di Hangzhou

Nik Safuan Ismade bersama pemain-pemain Bunga Raya 7s yang menggalas cabaran Malaysia dalam Siri Kedua Kejuaraan Ragbi Asia 7s Hangzhou 2024 di China.
Nik Safuan Ismade bersama pemain-pemain Bunga Raya 7s yang menggalas cabaran Malaysia dalam Siri Kedua Kejuaraan Ragbi Asia 7s Hangzhou 2024 di China.
A
A
A

SKUAD ragbi lelaki 7 sebelah (7s) negara mempertaruhkan pengalaman empat pemain senior apabila menyingkap semula saingan Siri Kedua Kejuaraan Ragbi 7s Asia Hangzhou 2024 di China pada Sabtu.

Malah pengendali skuad Bunga Raya 7s negara, Nik Safuan Ismade Nik Man percaya kehadiran semula Wan Azley Wan Omar, Mohamad Shah Izwan Nordin, Muhamad Hafiezie Sudin dan Adam Ariff Alias serta debut sulung Ammar Mohamad Zamri mampu menghadirkan kelainan berbeza di Hangzhou.

"Alhamdulillah, siri pertama di Incheon, Korea Selatan sebelum ini kita lepasi KPI (Petunjuk Prestasi Utama) apabila berada dikedudukan keenam berbanding sasaran awal tempat ketujuh.

"Jadi Kejuaraan Siri Kedua di Hangzhou, kita tambah baik lagi keupayaan pasukan untuk lebih berdaya saing dengan gergasi Asia lain.

"Tambahan pula kita terpaksa melupakan khidmat lima pemain selepas kempen di Incheon setelah mereka mengalami kecederaan yang memerlukan tempoh masa untuk sembuh," katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Skuad negara membuka gelanggang di Incheon dalam aksi kumpulan dengan langkah kiri apabila tewas 0-39 kepada China, diikuti Jepun, 0-21 dan Thailand, 7-15.

Saingan separuh akhir Kategori Plate, skuad negara menewaskan Singapura, 10-0 sebelum tunduk sekali lagi perlawanan akhir plate, 5-22 kepada Thailand.

Sementara itu, Nik Safuan Ismade mengakui cabaran Bunga Raya 7s lelaki negara masih sama.

Artikel Berkaitan:

"Cabaran kita di Hangzhou masih sama seperti di Incheon, kehadiran kuasa ragbi Asia seperti China dan Jepun merupakan ujian kepada Bunga Raya 7s.

"Selain itu, UAE (Emiriah Arab Bersatu) yang 99 peratus mengunakan khidmat pemain-pemain naturalisasi dari Eropah, Australia, New Zealand dan Fiji,

"Jadi besar harapan saya untuk melihat pemain-pemain yang menggalas tanggungjawab saingan di Hangzhou tampil lebih menyerlah dengan persembahan berkualiti," katanya.

Pada masa sama Nik Safuan Ismade meletakkan sasaran untuk berada di kedudukan ketujuh terbaik saingan Hangzhou.

"Saingan Siri Kedua, tumpuan kita adalah mengumpul seberapa banyak mata yang boleh agar pasukan negara tidak mengharungi Kejuaraan Trofi Cabaran, seterusnya mengekalkan status elit bagi saingan tahun hadapan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!