Keputusan KPT beri semangat kepada pelajar

Muka depan Sinar Harian pada Jumaat.
Muka depan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengarahkan semua pentadbir universiti menerima masuk pelajar miskin dan daif termasuk menangguhkan bayaran yuran pendaftaran mereka sebagai langkah tepat.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan Kubang Kerian, Alif Rozali, 26, berkata, usaha itu secara tidak langsung membuka lembaran baharu buat pelajar kurang berkemampuan yang ditawarkan menyambung pengajian.

“Kami ada buat kajian dan hasilnya mendapati ramai pelajar khususnya di luar bandar mempunyai potensi dalam pelajaran namun terpaksa dilupakan akibat masalah kewangan.

“Jadi, bila KPT mengumumkan langkah ini sebagai ‘suara pelajar’, kami menyambut baik,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurut beliau, keputusan itu pasti memberikan semangat kepada golongan berkenaan untuk belajar bersungguh-sungguh.

Ujarnya, beliau berharap pelajar yang diberikan keistimewaan ini dapat memanfaatkan sebaik mungkin peluang ini bagi mengubah masa depan.

Alif memberitahu, sebelum ini ada rakan-rakannya terpaksa menangguhkan pengajian akibat masalah kewangan.

“Saya berharap dengan keprihatinan pihak kerajaan dan universiti, isu tersebut bukan lagi menjadi halangan buat mereka meneruskan pengajian bagi mencapai cita-cita,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Yang Dipertua MPP UiTM Kelantan, Firdaus Hakimi Shurkawi, 21, berkata, pihaknya menyambut baik cadangan tersebut selain berharap kerajaan dapat memberikan kelulusan awal pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Tambahnya, bantuan itu amat diperlukan sebelum pendaftaran bagi memastikan pelajar terlibat tidak merasa tertekan serta mengambil keputusan untuk menangguhkan pengajian disebabkan masalah kewangan.

“Bila masuk universiti banyak perbelanjaan yang diperlukan. Jadi kami harap kerajaan dapat memudahkan proses kelulusan serta memberinya lebih awal,” katanya.

Muka depan Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, semua pentadbir universiti diarah menerima masuk pelajar yang miskin dan daif serta membenarkan mereka menangguhkan bayaran yuran pengajian sebelum bantuan susulan diberikan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau tidak mahu lagi mendengar kisah pelajar-pelajar cemerlang yang tidak dapat masuk ke universiti kerana tidak mempunyai wang untuk melanjutkan pengajian.

Katanya, beliau sudah mengarahkan universiti menguruskan bantuan awal pengajian melalui PTPTN kepada golongan mahasiswa yang tidak berkemampuan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!