Gayong angkat kisah mahaguru silat

Individu-individu penting di sebalik pembikinan Gayong termasuk pengarah, Faizal Ishak (empat dari kiri), Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latip (lima dari kiri) dan barisan pelakon Syafie, Beto serta Nabila Huda.
Individu-individu penting di sebalik pembikinan Gayong termasuk pengarah, Faizal Ishak (empat dari kiri), Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latip (lima dari kiri) dan barisan pelakon Syafie, Beto serta Nabila Huda.
A
A
A

FILEM seni bela diri selalunya sering mendapat tempat dalam kalangan penonton yang gemarkan filem-filem aksi.

Melihat kepada perkembangan tersebut, ia telah memberi inspirasi kepada syarikat SOL Pictures Sdn Bhd menghasilkan sebuah filem aksi yang mengetengahkan seni bela diri silat iaitu Gayong.

Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latip berkata, tujuan pembikinan filem berkenaan adalah usaha mereka untuk mengangkat kisah seorang jaguh seni bela diri Malaysia.

“Kalau di Hong Kong, adanya kisah tentang IP Man yang cukup terkenal dengan Wing Chun. Jadi, sudah tiba masanya untuk kita hasilkan sebuah filem tentang ikon seni bela diri tempatan yang wajar sekali kita banggakan.

“Menerusi perbincangan, kami sepakat untuk mengangkat kisah Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman yang juga merupakan pengasas kepada silat seni gayong,” ujarnya.

Khairul berkata demikian ketika majlis pelancaran filem Gayong yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia, Serdang baru-baru ini.

Bakal diarahkan oleh Faisal Ishak, filem Gayong menampilkan barisan pelakon popular seperti Beto Kusyairy yang membawakan watak pengasas seni bela diri tersebut, selain Nabila Huda dan Syafie Naswip selaku tunjang utama.

Lebih menarik, filem itu turut dibintangi dua pelakon aksi popular, Yayan Ruhian (Indonesia) dan Chevanon Phukaokaew (Thailand).

Artikel Berkaitan:

Jelasnya lagi, dalam proses pembikinan filem berkenaan, pihaknya juga telah membuat temu ramah bersama anak sulung Allahyarham iaitu Siti Fadzillah.

“Menerusi temu ramah tersebut, banyak perkara menarik yang diceritakan berkenaan arwah bapanya itu dan ia memberikan sokongan sepenuhnya untuk kami menghasilkan filem ini.

“Kami berasakan perjuangan beliau sebagai seorang pengasas seni bela diri silat gayong ini adalah sebagai satu warisan yang boleh dijadikan sumber rujukan untuk generasi akan datang,” katanya.

Penggambaran Gayong akan bermula pada 5 Oktober ini di beberapa lokasi seperti Sedili, Desaru, Bagan Lalang, Pantai Jengkok, Tanjong Karang, Ipoh dan beberapa lokasi sekitar Lembah Klang.

Filem tersebut dijangka menemui penonton di pawagam pada Mei 2025.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!