MoU peruntukan pembangkang: Muhyiddin zahir rasa kecewa
KLUANG - Kerajaan Perpaduan didakwa seolah-olah mahu wakil rakyat pembangkang 'melutut' untuk mendapatkan peruntukan bagi membantu rakyat apabila masih berusaha 'mengikat' mereka menggunakan memorandum persefahaman (MoU),kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, meskipun draf berkenaan sudah ditolak, tindakan kerajaan menawarkan pembangkang untuk mengemukakan cadangan baharu MoU itu dilihat seperti memperlekehkan mandat seorang ahli Parlimen yang sudah dipilih rakyat.
"Begitu (sekali) dia (Kerajaan Perpaduan) layan kita (ahli Parlimen pembangkang). Macam kita ni tak berguna.
"(Seolah-olah) 'kalau kamu nak ni (peruntukan) sikit, kau lutut (melutut) kat bawah tu, tutup mulut kau', tangan kena ikat, mata pun tak buka...tak nampak. Cuma tandatangan sahajalah dan ikut apa sahaja kerajaan nak.
"Jadi, dah tak ada hak dan kebebasan sebagai ahli Parlimen untuk buat apa yang dia suka sebagaimana yang terkandung dalam aturan-aturan Parlimen dan Perlembagaan negara," katanya ketika berucap dalam Ceramah Perdana PN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu Timor 2, di sini pada Jumaat.
Pada Rabu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Ketua Whip Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fadillah Yusof dilapor berkata, pembangkang boleh mengemukakan cadangan baharu atau maklum balas mengenai draf MoU peruntukan untuk Ahli Parlimen Pembangkang.
Katanya, draf sedia ada boleh menjadi asas kepada perbincangan.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, percaya tiada sebarang perubahan yang akan dibuat sekiranya pembangkang menghantar cadangan draf baharu untuk MoU berkenaan.
"Lagipun dalam manifesto (Pakatan Harapan dalam PRU lalu) kata tak perlu apa-apa (syarat), nak bagi (peruntukan) sama rata.
"Kenapa tak ikut?,"soalnya.
Sehubungan itu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan tersebut selepas lebih dua tahun menantikan.
Sedangkan katanya, jumlah RM300,000 yang diminta bagi setiap Parlimen tidak sepatutnya menjadi beban buat kerajaan yang benar-benar prihatin terhadap nasib rakyat di bawah.
"Kita guna untuk bantu rakyat. Bukan untuk belanja makan-makan (sendiri). Itu peraturan kewangan. Tapi boleh diberi kepada wakil rakyat.
"Dahulu biasa dibuat begitu untuk membantu orang-orang susah di kawasan kita. Dah dua tahun tunggu. Bukan banyak. RM300,000 sahaja (tapi) bagi yang tak ada (duit) itu banyaklah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!