Polis periksa rumah disyaki didiami pengikut GISBH
GOMBAK - Lima unit kediaman disyaki didiami pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di kawasan perumahan teres dua tingkat di Bandar Tasik Puteri, Rawang di sini diperiksa polis dalam Op Global, awal pagi Sabtu.
Pemeriksaan dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di premis yang turut dipercayai dijadikan rumah amal bermula jam 5.30 pagi.
Hasil pemeriksaan mendapati kesemua unit kediaman di kawasan komuniti berpagar dan berpengawal itu kosong selepas penghuninya dipercayai meninggalkan kediaman mereka sejak dua hari lalu.
Operasi disertai lebih 50 pegawai dan anggota polis yang dibahagikan kepada lima pasukan berasingan itu memeriksa kediaman berkenaan namun, mendapati ia tidak berpenghuni walaupun terdapat pakaian dan kenderaan.
Salah seorang penduduk di kawasan itu yang enggan dikenali berkata, dia sering melihat kumpulan kanak-kanak mendiami kediaman yang diperiksa polis itu bermain di padang permainan.
"Sebelum ini mereka sering berkumpul di padang permainan atau pekarangan rumah berkenaan namun, telah 'hilang' sejak Khamis lalu.
"Kami ada melihat beberapa kenderaan di hadapan setiap rumah berkenaan beberapa hari lalu dan dipercayai membawa mereka (penghuni) meninggalkan kawasan kediaman ini," katanya.
Semasa pemeriksaan di unit kediaman pertama yang disyaki dijadikan rumah amal serta dianggarkan didiami oleh 20 kanak-kanak bersama penjaga mereka, terdapat pakaian yang masih tersidai di ampaian selain dipenuhi tujuh basikal kanak-kanak.
Tinjauan Sinar Harian yang turut menyertai operasi tersebut mendapati terdapat reban yang menempatkan puluhan ekor burung puyuh, selain bahagian belakang rumah diubah suai menjadi tempat mandi.
Kesemua penghuni dipercayai meninggalkan rumah berkenaan secara tergesa-gesa.
Selain serbuan di Bandar Tasik Puteri oleh pasukan dari Bukit Aman, beberapa serbuan lain turut dilakukan oleh polis kontinjen negeri di seluruh negara.
Pada 12 September lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun berjaya diselamatkan menerusi serbuan di 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan disyaki menjadi mangsa eksploitasi menerusi Op Global.
Berdasarkan saringan kesihatan terhadap 384 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global, ada ciri-ciri pengabaian dan penganiayaan berlaku.
Sebelum ini, polis menahan seramai 171 orang yang juga guru dan penyelia rumah amal berusia 17 hingga 64 tahun.
Daripada jumlah itu seramai 159 orang direman, manakala bakinya dibebaskan kerana bawah umur dan tidak relevan kepada siasatan.
Pada Khamis, media melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif GISBH dan isterinya antara 19 individu ditahan dalam Op Global di ibu kota.
Kesemua individu berusia 25 hingga 65 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada jam 5.40 pagi.
Seramai 12 lelaki dan tujuh wanita itu direman tujuh hari bermula Khamis hingga Rabu bagi membantu siasatan.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut menitahkan polis menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak dikaitkan dengan rumah amal GISBH.
Baginda memandang serius perkara itu selepas pelbagai berita dilaporkan serta disiarkan di media massa mengenai rumah amal berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!