Arteta jangkakan suasana kompetitif di Stadium Etihad
PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta menegaskan The Gunners bersiap sedia sejak pramusim untuk perlawanan berdepan penyandang juara Manchester City.
Kelab utara London itu akan menamatkan minggu melelahkan dengan perlawanan ketiga berturut-turut apabila menentang juara Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad pada Ahad.
Selepas menewaskan Tottenham Hotspur dalam perlawanan derbi utara London hujung minggu lalu, Arsenal kemudian ke Bergamo bagi meraih keputusan seri tanpa jaringan di Atalanta dalam aksi Liga Juara-Juara.
Kini anak buah Arteta akan berdepan Manchester City dalam perlawanan dua pasukan teratas Liga Perdana Inggeris minggu ini.
"Kami telah bersedia untuk perlawanan ini sejak pramusim. Jelas sekali, kami tahu jadual padat dan ia amat jarang untuk bermain dalam keadaan tiga perlawanan besar di tempat lawan dalam enam hari.
"Ini situasi sebenar yang berlaku jadi kami telah bersedia untuk itu, baik dari segi fizikal, mental dan taktikal.
"Kami amat memastikan semua pemain bersedia untuk itu kerana kami akan memerlukan setiap mereka, terutamanya dengan kecederaan yang alami dari rehat antarabangsa," kata Arteta
Sementara itu, Kapten Arsenal, Martin Odegaard kekal diketepikan selepas kecederaan buku lali semasa bertugas bersama Norway, dengan Arteta masih samar status penampilan semula pemain tengah tersebut.
"Kita perlu melihat perkembangan dalam minggu depan atau lebih, bagaimana kecederaan buku lali bertindak balas pertama sekali dan kemudian kakitangan akan memberi saya maklumat terkini mengenai jangka masa dan berapa lama dia akan berehat," kata pengendali dari Sepanyol itu.
Jelas Arteta lagi, tiada kecederaan baharu selepas seri di Atalanta, berharap untuk berehat sehari tambahan selepas Manchester City seri menentang Inter Milan di Stadium Etihad.
“Kami mahukan perkara yang sama seperti mereka, kami tidak mendapatnya, jadi kami perlu menyesuaikan diri dan memanfaatkan masa yang ada hari ini dan esok dan pada pagi perlawanan untuk membuat persiapan terbaik untuk ke sana dan memenangi perlawanan itu," katanya.
Arsenal yang mempunyai rekod cemerlang di tempat lawan pada 2024, kehilangan mata dalam hanya seri 0-0 di City musim lalu, dan Arteta menjangkakan suasana kompetitif di Stadium Etihad.
“Kami pergi ke rumah juara, pasukan yang saya fikir dalam sejarah Liga Perdana Inggeris adalah yang paling konsisten, bukan sahaja dari segi keputusan tetapi dari segi dominasi dan prestasi terbaik yang konsisten.
"Inilah cabarannya. Kami perlu pergi ke sana dan buktikan bahawa sekali lagi kami boleh bersaing," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!