Mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 7,494 pagi ini

Jumlah mangsa banjir di Kedah menunjukkan peningkatan pagi Sabtu dan Pulau Pinang pula mencatatkan penurunan manakala di Perlis, Selangor dan Perak jumlah mangsa kekal seperti Jumaat malam. Gambar hiasan
Jumlah mangsa banjir di Kedah menunjukkan peningkatan pagi Sabtu dan Pulau Pinang pula mencatatkan penurunan manakala di Perlis, Selangor dan Perak jumlah mangsa kekal seperti Jumaat malam. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Kedah menunjukkan peningkatan pagi Sabtu dan Pulau Pinang pula mencatatkan penurunan manakala di Perlis, Selangor dan Perak jumlah mangsa kekal seperti Jumaat malam.

Di KEDAH, jumlah mangsa yang dipindahkan bertambah kepada 7,494 orang setakat 8 pagi ini, meningkat berbanding 6,760 pada 8 malam tadi.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa di negeri itu melibatkan 2,445 keluarga dan mereka ditempatkan di 42 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah.

Daerah Kota Setar mencatatkan jumlah teramai iaitu 3,292 orang diikuti Kubang Pasu (1,811 orang), Pendang (1,127 orang), Pokok Sena (952 orang), Kuala Muda (184 orang) dan Bandar Baharu 128 orang.

Sementara itu, laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan paras air di lima sungai di Kedah berada pada paras bahaya. Sungai itu ialah Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Sungai Bata di Kampung Bata di Kubang Pasu serta Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar.

Di PULAU PINANG, jumlah mangsa menurun kepada 259 orang yang masih ditempatkan di PPS negeri itu hingga 7.18 pagi ini berbanding 427 orang malam tadi.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pulau Pinang, kesemua mereka daripada 72 keluarga itu ditempatkan di lima PPS di daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

"Di SPU, seramai 199 orang daripada 37 keluarga di tempatkan di tiga PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Menora, SK Lahar Yooi dan Pusat Penempatan Banjir Labuh Banting manakala satu PPS di SPT iaitu di Sekolah Rendah Islam Maahad At Tarbiah Guar Jering seramai 20 orang daripada enam keluarga dan di SPS pula 40 orang daripada 19 keluarga ditempatkan Dewan MPKK Sanglang," menurut laporan itu.

Artikel Berkaitan:

Pagi ini, cuaca di seluruh Pulau Pinang baik dan cerah serta tiada hujan atau angin kuat.

Di SELANGOR, Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan satu PPS di Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang di Kuala Selangor kekal dengan 101 mangsa daripada 36 keluarga masih berlindung di PPS berkenaan.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Kuala Langat menerusi hantaran di Facebook rasmi meminta orang ramai berwaspada dan menjauhi kawasan pantai sekitar daerah itu bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku susulan fenomena air laut pasang besar yang dijangka berakhir hari ini.

Di PERLIS, jumlah mangsa banjir tiada perubahan apabila masih sama iaitu seramai 90 orang yang berada di tiga PPS setakat 8 pagi ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata di PPS SK Sena di Kangar terdapat seramai 10 mangsa banjir manakala SK Dato Ahmad Musa (47 orang) dan SK Kubang Gajah (33 orang) di Arau.

"Mangsa yang terjejas banjir ini dari kampung antaranya Kampung Sungai Padang dan Kampung Kubang Gajah bagi kawasan Arau manakala Kampung Tok Kandang, Kampung Bakau, Kampung Sena dan Kampung Seberang Tambang di kawasan Kangar," katanya.

Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan pagi ini memaklumkan satu PPS masih dibuka di Bagan Serai iaitu di SK Changkat Lobak melibatkan 16 mangsa banjir daripada tiga keluarga berikutan limpahan air Sungai Kerian semalam, menyebabkan kawasan Kampung Matang Tengah dinaiki air.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut melanda kesemua daerah di Perak pada petang ini.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak pula memaklumkan Jalan Raya Timur Barat Kupang Gerik-Jeli, Hulu Perak kekal satu lorong dibuka untuk laluan akibat tanah runtuh, selain laluan FT147 Jalan Bagan Serai-Changkat Lobak di Kerian jalan dibuka kepada kenderaan berat sahaja. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!