Bersama pertahan negara, tentera tidak dibatasi orang Melayu sahaja - Sultan Nazrin

Sultan Nazrin bertitah pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Palapes di UPSI dekat Tanjung Malim.
Sultan Nazrin bertitah pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Palapes di UPSI dekat Tanjung Malim.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa keanggotaan pasukan tentera di negara ini tidak dibatasi hanya kepada orang Melayu.

Baginda bertitah, penyertaan bukan Melayu dalam angkatan tentera dirintis dengan penubuhan batalion pertama Rejimen Persekutuan dan Skuadron A, Rejimen Kereta Perisai Persekutuan dalam tahun 1952.

Tambah baginda, ia diikuti dengan penubuhan unit-unit signal, jurutera, pengangkutan dan polis tentera serta penubuhan Maktab Tentera Persekutuan di Port Dickson yang membuka pengambilan pelajar untuk semua kaum.

"Memahami hakikat komposisi rakyat di negara ini terdiri daripada pelbagai kaum, adalah penting diusahakan tanggungjawab mempertahankan negara daripada ancaman musuh dipikul secara bersama.

"Bermakna komposisi angkatan tentera di negara ini tidak dibatasi kepada orang-orang Melayu sahaja," titah baginda sempena Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam ke-42 Tahun 2024 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini pada Sabtu.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim selaku Canselor UPSI.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sultan Nazrin bertitah, anggota tentera hendaklah menjadikan prinsip Kepercayaan kepada Tuhan sebagai pegangan semasa menyempurnakan amanah dan tanggungjawab agar perjuangan tidak tersasar haluan.

Artikel Berkaitan:

"Semangat kesetiaan kepada Raja dan Negara hendaklah dijunjung pada setiap masa berteraskan perlembagaan, berpaksikan undang-undang.

"Disiplin yang telah menjadi budaya saudara saudari hendaklah dipamerkan melalui tindak tanduk bersopan dan bersusila," titah baginda.

Jelas baginda, peranan angkatan tentera di negara ini digariskan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara (41) Perlembagaan Persekutuan menetapkan Yang di-Pertuan Agong ialah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan.

"Perkara (137) Perlembagaan Persekutuan menggariskan penubuhan dan fungsi Majlis Angkatan Tentera yang hendaklah bertanggungjawab di bawah kuasa am Yang di-Pertuan Agong bagi pemerintahan, tatatertib dan pentadbiran angkatan tentera dan segala perkara lain yang berhubungan dengannya selain perkara yang berhubungan dengan penggunaan angkatan tentera bagi maksud operasi," titah baginda.

Dalam titah ucapan itu, Sultan Nazrin turut menzahirkan ucap tahniah kepada pegawai kadet Palapes yang telah berjaya melalui latihan secara sabar, tabah, tekun, dengan kesungguhan hingga tersemai dalam jati diri mereka bersemangat wira berjiwa kesateria.

"Semangat wira dan jiwa kesateria yang telah tersemai dalam diri hendaklah berupaya membina kekuatan dan keberanian dalaman untuk memperjuangkan yang hak dan menegak kebenaran.

"Semoga jika ditakdirkan terkorban di medan tempur, saudara saudari gugur dalam memperjuangkan sesuatu yang suci, perjuangan yang Insya-ALLAH akan mendapat keredaan Ilahi. Semoga ALLAH SWT akan menyemaikan semangat setia kawan dan semangat kesetiaan kepada perjuangan dalam jiwa," titah baginda.

Terdahulu Sultan Nazrin berkenan mengurniakan Pedang Kehormat kepada 35 Pegawai Kadet Terbaik.

Pada istiadat itu, seramai 1,435 pegawai kadet Palapes daripada 20 universiti awam seluruh Malaysia ditauliahkan sebagai Leftenan Muda, Rejimen Askar Wataniah Tentera Darat, Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia dan Pasukan Simpanan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!