Israel dakwa bunuh komander tertinggi Hizbullah, Ibrahim Aqil

Angkatan Pertahanan Israel mendakwa telah membunuh komander tertinggi Hezbollah, Ibrahim Aqil dan beberapa pemimpin kanan lain pergerakan Lubnan itu maut dalam serangan udara rejim Zionis itu di Beirut pada Jumaat. - Foto Reuters
Angkatan Pertahanan Israel mendakwa telah membunuh komander tertinggi Hezbollah, Ibrahim Aqil dan beberapa pemimpin kanan lain pergerakan Lubnan itu maut dalam serangan udara rejim Zionis itu di Beirut pada Jumaat. - Foto Reuters
A
A
A

BEIRUT/JERUSALEM - Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa, komander tertinggi Hizbullah, Ibrahim Aqil dan beberapa pemimpin kanan lain pergerakan Lubnan itu maut dalam serangan udara rejim Zionis itu di Beirut pada Jumaat.

Dalam masa sama, rejim Zionis itu berikrar untuk meneruskan kempen ketenteraan baharu sehingga dapat mengamankan kawasan sekitar sempadan Lubnan.

Tentera Israel dan sumber keselamatan di Lubnan mendakwa, Ibrahim maut bersama-sama anggota kanan unit elit Hizbullah yang lain dalam serangan udara itu sekali gus meningkatkan ketegangan mendadak konflik selama setahun antara Israel dan kumpulan pejuang yang disokong Iran itu.

Kementerian Kesihatan Lubnan berkata, sekurang-kurangnya 14 orang maut dan jumlah korban dijangka meningkat ketika pasukan penyelamat bekerja sepanjang malam.

Namun begitu, masih belum jelas sama ada jumlah 14 yang terkorban itu termasuk Ibrahim dan pemimpin kanan Hizbullah yang lain.

Hizbullah, bagaimanapun, tidak membuat sebarang kenyataan mengenai serangan Israel atau nasib Ibrahim.

Pejabat medianya hanya mengeluarkan dua kenyataan pada malam Jumaat mengatakan kumpulan itu telah menembak roket di dua kedudukan Israel pada pukul 8.40 malam, beberapa jam selepas serangan yang membunuhnya.

Sebelum ini, tentera berkata, sekurang-kurangnya 66 orang cedera dan sembilan daripada mangsa berada dalam keadaan kritikal.

Artikel Berkaitan:

Sumber keselamatan kedua pula berkata, serangan itu dilakukan dengan pelbagai peluru berpandu yang meletup di pintu masuk garaj sebuah bangunan.

Letupan itu merosakkan tingkat bawah bangunan ketika Ibrahim bertemu dengan komander-komander tertinggi lain di dalamnya.

Saksi melaporkan mendengar bunyi wisel yang kuat dan beberapa letupan berturut-turut sewaktu serangan itu berlaku

Sementara itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berkata, matlamat Israel sangat jelas dan tindakan yang diambil sudah cukup untuk menterjemahkan segala-galanya.

Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant pula dalam hantarannya di akaun X beberapa hari lalu berkata, Israel melancarkan fasa baharu peperangan di sempadan utara: "Rangkaian tindakan dalam fasa baharu ini akan berterusan sehingga matlamat kami tercapai: kepulangan penduduk di utara ke rumah mereka dengan selamat."

Puluhan ribu orang telah dipindahkan dari kediaman mereka di kedua-dua belah sempadan Israel-Lubnan sejak Hizbullah mula melancarkan roket ke Israel, dalam apa yang dikatakan sebagai tanda simpati terhadap rakyat Palestin selari dengan peperangan di Gaza.

Israel, yang kali terakhir berperang menentang Hizbullah 18 tahun lalu berkata, angkatan pertahanannya akan menggunakan kekerasan jika perlu untuk memastikan rakyatnya pulang dengan selamat.

Tentera Israel menggambarkan Ibrahim sebagai pemangku komander unit pasukan khas Radwan dan mendakwa, telah membunuhnya bersama sekitar 10 komander kanan lain ketika mereka bermesyuarat.

Ibrahim merupakan ahli majlis tentera tertinggi Hizbullah, kata sumber Lubnan kepada Reuters.

Serangan terbaharu itu memberi satu lagi tamparan kepada Hizbullah selepas dua hari serangan ke atas kumpulan itu apabila alat kelui dan walkie-talkie yang digunakan oleh anggotanya meletup sehingga meragut 37 nyawa dan mencederakan ribuan lagi.

Serangan itu dipercayai secara meluas dilakukan oleh Israel, yang tidak mengesahkan atau menafikan penglibatannya.

Dalam perkembangan sama, stesen televisyen tempatan menunjukkan kumpulan orang ramai berkumpul berhampiran tapak dan melaporkan mereka sedang mencari orang yang berada di sekitar dan masih hilang, kebanyakannya kanak-kanak.

Dron masih terbang di atas pinggir bandar selatan Beirut beberapa jam selepas serangan.

"Kami tidak takut, tetapi kami mahukan penyelesaian. Kami tidak boleh meneruskan kehidupan di negara seperti ini," kata Alain Feghali, seorang penduduk Beirut kepada Reuters.

"Perang? Saya tidak tahu sama ada ia sudah bermula atau tidak, tetapi tidak ada apa-apa yang meyakinkan. Jelas sekali kedua-dua pihak tidak akan berhenti."

Penyelaras Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Lubnan, Jeanine-Hennis Plasschaert menegaskan, serangan pada Jumaat di kawasan padat penduduk di pinggir selatan Beirut merupakan sebahagian daripada "kitaran keganasan yang amat berbahaya dengan akibat yang dahsyat. Serangan mesti dihentikan sekarang." - Reuters

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!