Lahir, membesar di Al-Arqam sehingga usia 8 tahun
SHAH ALAM - Seorang pengguna media sosial X mendedahkan dirinya dilahirkan dan pernah dibesarkan di institusi Al-Arqam sehingga berusia lapan tahun.
Menerusi hantaran X dimuat naik individu bernama Nia, dia juga sempat belajar mengaji dengan pemimpin gerakan terbabit iaitu Allahyarham Ashaari Muhammad atau lebih dikenali sebagai Abuya.
“Lahir di Al-Arqam. Surat beranak saya kalau orang tengok, mesti pandang dua atau tiga kali sebab tempat lahir terang-terangan tertulis Al-Arqam.
“Saya dibesarkan di Al-Arqam sehingga umur lapan tahun dan belajar mengaji dengan Abuya dulu.
“Bukan nak tunggang isu semasa, tetapi nak beritahu hidup dalam kultus ini bahaya, boleh (jadi) sampai taasub,” katanya pada Jumaat.
Sebelum ini, gerakan al-Arqam yang dipimpin Abuya bersama isteri, Ummu Jah difatwakan sesat pada Ogos 1994, bagaimanapun fahamannya dipercayai tersebar luas menerusi beberapa pertukaran identiti baharu.
Nia turut memaklumkan, dia sempat menelaah salah satu buku keluaran Abuya berjudul ‘Abuya The Next Imam Mahdi’, namun dimarahi ibunya.
Hal ini kerana menurutnya, ibu bapa dan ahli keluarga yang lain sudah isytihar keluar daripada kumpulan ajaran sesat itu.
Jelas gadis terbabit, beberapa pegawai yang bertugas di bawah Akta Kementerian Dalam Negeri (ISA) sempat berkunjung ke rumah untuk menyoal siasat ibu bapanya.
“Memang trauma. Kehidupan masa itu sangat berkelompok dan saya tak pandai bersosial, main dengan anak-anak Al-Arqam yang lain pun tidak.
“Selepas Al-Arqam diharamkan, mereka ubah nama kepada Rufaqa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!