Liridon nilai tambah Harimau Malaya: Cheng Hoe
KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berharap Liridon Krasniqi dapat beraksi pada perlawanan menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam saingan Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac depan.
Katanya, kehadiran Liridon akan memberikan nilai tambah kepada beliau khususnya dalam membuat pilihan menurunkan barisan terbaik Harimau Malaya.
"Secara jujur sebagai jurulatih, saya pastinya gembira dengan kehadirannya (Liridon), khususnya jika dia boleh bermain pada perlawanan menentang UAE.
"Bagaimanapun kita akan tunggu proses daripada FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa)," katanya ketika ditemui di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) setelah Liridon sah menjadi warganegara Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN: Mat Don sah warganegara Malaysia
Untuk rekod, skuad negara tewas 1-2 kepada UAE pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, 10 September lalu bakal bertandang ke laman lawan di Stadium Al Maktoum Dubai pada 26 Mac.
Sementara itu, Cheng Hoe menyifatkan Liridon sebagai seorang pemain yang memiliki karakter positif dan bermotivasi tinggi setiap kali turun beraksi di padang.
Katanya, beliau percaya kriteria dimiliki pemain berusia 28 tahun itu secara tidak langsung akan memberikan impak positif kepada pemain Harimau Malaya lain.
"Kita tahu semasa bersama Kedah, Liridon memiliki gaya bermain begitu baik dan dia juga adalah mesin gol kepada skuad Kedah. Komitmen tinggi beliau semasa latihan dan di padang tidak boleh dipertikaikan lagi sepanjang menyarung jersi Kedah.
"Bagaimanapun kita akan tetap pantau dulu prestasi Liridon bersama pasukannya pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) dan berharap dia dapat memberikan sumbangan terbaik kepada skuad negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!