Banjir: PM tiba di Kedah lawat tiga PPS

Anwar menyantuni mangsa banjir dan menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak OKU, Mohd Afiq Ramadhan Abdullah di pusat pemindahan sementara di Alor Setar, Kedah, pada Sabtu. Foto Awani
Anwar menyantuni mangsa banjir dan menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak OKU, Mohd Afiq Ramadhan Abdullah di pusat pemindahan sementara di Alor Setar, Kedah, pada Sabtu. Foto Awani
A
A
A

ALOR SETAR - Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kedah bagi meninjau situasi terkini banjir di negeri itu pada Sabtu.

Pesawat yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini sekitar pukul 10.30 pagi.

Beliau kemudian meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Stadium Sultan Abdul Halim yang terletak di daerah Kota Setar pada jam 11.15 pagi.

Anwar diiringi oleh Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid; barisan Exco Kerajaan Negeri Kedah serta bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Dalam tinjauan itu, Perdana Menteri meluangkan masa hampir 30 minit bertemu dengan mangsa-mangsa banjir.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir termasuk kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU), Mohd Afiq Ramadhan Abdullah, 9.

Perdana Menteri kemudian meneruskan tinjauan di dua lagi PPS iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah dan Sekolah Kebangsaan Titi Gajah.

Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyalurkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan banjir di Kedah.

Artikel Berkaitan:

Setakat pukul 11.26 pagi, laman web Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarat melaporkan daerah terjejas banjir menurun kepada enam berbanding tujuh pada tengah malam tadi.

Mangsa yang berpindah ke PPS pula meningkat kepada 7,754 orang daripada 2,447 keluarga yang ditempatkan di 42 PPS.

Daerah yang terjejas adalah Kota Setar; Kubang Pasu; Pokok Sena; Pendang; Kuala Muda dan Bandar Baharu. - Awani

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!