Tidak perlu perbesarkan isu solat Jumaat tidak sah - Pengerusi surau

Surau al-Muttaqin, Sungai Ara di Bayan Lepas.
Surau al-Muttaqin, Sungai Ara di Bayan Lepas.
A
A
A

GEORGE TOWN - Pihak Surau al-Muttaqin, Sungai Ara di Bayan Lepas memohon agar isu solat Jumaat pada 13 September lalu yang diputuskan sebagai tidak sah agar tidak diperbesarkan.

Pengerusinya, Azrul Abdul Halim berkata, isu itu sudah selesai selepas ia dirujuk kepada Pejabat Agama Daerah Barat Daya dan Pejabat Mufti Pulau Pinang.

"Isu ini sudah selesai selepas pejabat agama dan mufti sudah memberi maklum balas dan penerangan mengenainya.

"Oleh demikian, saya berharap agar isu ini tidak diperbesarkan dan dibuat spekulasi," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Sebelum ini, Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman mengesahkan solat Jumaat di Surau al-Muttaqin, Sungai Ara, Bayan Lepas di sini pada 13 September lalu tidak sah kerana tidak memenuhi syarat khutbah.

Beliau berkata, syarat yang tidak dipenuhi itu apabila khatib terlupa duduk antara dua khutbah.

Susulan itu, beliau berkata, jemaah yang bersolat Jumaat di surau terbabit diwajibkan menunaikan solat Zohor secara qada bagi menggantikan solat Jumaat yang tidak sah berkenaan.

Mengulas lanjut, Azrul berkata, perkara itu tidak pernah berlaku di surau berkenaan dan ia merupakan kejadian pertama.

Artikel Berkaitan:

"Ini kejadian pertama di surau ini. Pada hari tersebut, solat dipimpin oleh imam muda, beliau baru tamat pengajian di Yaman. Walaupun usianya muda, bacaan beliau sangat bagus.

"Beliau selalu jadi imam untuk solat Jumaat sahaja tetapi pada Jumaat lalu, beliau juga menjadi khatib. Itu merupakan kali pertama beliau menjadi khatib dan kekhilafan berlaku. Kita manusia biasa, biasa buat salah. Malah di tempat lain pun pernah berlaku," katanya lagi.

Ditanya mengenai kenyataan yang dibuatnya agar perkara itu dipanjangkan kepada orang ramai, Azrul berkata, ia dibuat agar jemaah yang terlibat boleh menunaikan solat zuhur secara qada.

"Semalam, saya ada buat pengumuman di surau ketika solat Jumaat. Bagaimanapun, saya bimbang jemaah yang bersolat pada 13 September lalu, tidak bersolat di surau ini pada semalam (Jumaat, 20 September). Jadi mereka tidak dapat maklumat tersebut.

"Sebab itu saya buat kenyataan tersebut agar ia boleh dipanjangkan kepada orang ramai," tambah beliau.

Sebelum ini, tular kenyataan didakwa daripada Pengerusi Jawatankuasa surau berkenaan yang meminta maklumat mengenai perkara itu dipanjangkan kepada orang ramai.

Kenyataan itu mendakwa perkara berkenaan sudah dirujuk kepada Pejabat Agama Daerah Barat Daya dan Pejabat Mufti Pulau Pinang.

Menerusi kenyataan itu juga, pihak surau bagi pihak imam, pegawai-pegawai dan Ahli Jawatankuasa Surau al-Muttaqin memohon maaf di atas kesilapan itu.

Kata kenyataan itu, pihak surau akan memperbaiki prosedur operasi standard supaya semakan dibuat untuk memastikan rukun, syarat Jumaat dan khutbah dipenuhi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!