Usul undi tidak percaya: Bebaskan ahli Parlimen dari semua perjanjian

Laporan Sinar Harian (kiri), Ahmad Fadhli
Laporan Sinar Harian (kiri), Ahmad Fadhli
A
A
A

KOTA BHARU - Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya terlebih dahulu membebaskan ahli Parlimen daripada semua perjanjian sebelum mencabar pembangkang membawa usul undi tidak percaya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pas itu berkata, ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan diikat dengan perjanjian terlebih dahulu sebelum usul percaya dibawa ke Parlimen pada Disember 2022 lalu.

“Sebenarnya kerajaan Datuk Seri bukanlah anak jantan jika berdepan dengan usul sebegini.

“Buktinya, ahli-ahli Parlimen kerajaan diikat dengan perjanjian terlebih dahulu sebelum usul percaya dibawa ke Parlimen Disember 2022 yang lalu.

“Jika benar-benar anak jantan, bebaskan ahli Parlimen dari semua perjanjian yang mengikat, beri mereka kebebasan mengundi mengikut pilihan sendiri, nah kita tengok adakah Datuk Seri masih kekal ataupun tersungkur!," katanya.

Beliau berkata demikian dalam hantaran status yang dimuat naik ke laman Facebook pada Sabtu.

Sebelum itu, Anwar mencabar pembangkang untuk bawa usul undi tidak percaya terhadap beliau pada sidang Dewan Rakyat 14 Oktober ini.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Pas turut mempersoalkan layanan yang bakal diterima daripada Speaker jika usul undi tidak percaya itu dibawa ke sidang tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Datuk Seri cabar supaya bawa usul tidak percaya ke Parlimen.

“Boleh sahaja usul tidak percaya dibawa ke Parlimen, tetapi dengan Speaker yang ada, adakah ia akan dilayan dengan adil?" soalnya.

Beliau turut meminta Anwar untuk mengingat kembali tindakan dilakukan oleh Perdana Menteri terbabit sebelum membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Sewaktu Datuk Seri desak Perdana Menteri sebelum ini letak jawatan, berapa kali Datuk Seri bawa usul tidak percaya ke Parlimen?

“Atau sudah lupa ingatan?" soal Ahmad Fadhli.

Pada Disember 2022, empat gabungan politik memeterai perjanjian bersama Pakatan Harapan (PH) bagi tujuan memperkukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semua gabungan politik itu diwakili pemimpin tertinggi masing-masing iaitu Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, manakala Pakatan Harapan diwakili Anwar sebagai Pengerusinya.

Inti pati perjanjian persefahaman membentuk Kerajaan Perpaduan itu termasuklah usul percaya dan rang undang-undang perbekalan iaitu setiap parti dan pihak-pihak hendaklah mengundi untuk menyokong Perdana Menteri dalam usul-usul berkait dengan usul percaya, perbekalan dan/atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Setiap parti dan pihak-pihak hendaklah bertanggungjawab untuk menguruskan secara dalaman di dalam parti mereka bagi memastikan sokongan Parlimen untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan Malaysia dalam sebarang undian yang membawa kesan kepada keabsahan Kerajaan Perpaduan Malaysia mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!