Rakyat Malaysia di Beijing teruja bertemu Agong dalam lawatan bersejarah
BEIJING - Rakyat Malaysia yang menetap di Beijing menyambut dengan penuh kegembiraan dan rasa teruja apabila diberi peluang istimewa untuk bertemu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang kini dalam rangka Lawatan Negara pertama baginda ke China, di sini, pada Sabtu.
Seri Paduka Baginda berada di republik itu atas jemputan Presiden Xi Jinping, dengan lawatan rasmi berlangsung dari 19 hingga 22 September.
Wartawan dan pengacara Kumpulan Media China (CMG), Isa Zubir, 35, tidak dapat menyembunyikan keterujaannya ketika ditemui Bernama.
"Saya amat teruja kerana Sultan Ibrahim berkenan meluangkan masa untuk bertemu rakyat Malaysia di negara Tembok Besar ini. Ini adalah peluang yang amat istimewa," katanya dengan penuh semangat.
Isa, anak jati Sungai Besar, Selangor, berkata, kehadiran Seri Paduka Baginda di Beijing membawa penghormatan yang besar buat komuniti rakyat Malaysia di sini.
"Dalam tempoh 10 tahun, ini kali pertama kami berpeluang bertemu Agong. Kami amat bersyukur dan bangga," tambahnya.
Majlis Santapan yang diadakan di China World Summit Wing Hotel menyaksikan Sultan Ibrahim berkenan bertemu kira-kira 300 rakyat Malaysia, termasuk pelajar, ahli perniagaan, dan pegawai Kedutaan Malaysia di Beijing.
Majlis itu menjadi sebahagian daripada jadual Lawatan Negara Seri Paduka Baginda selama empat hari di China. China menjadi negara pertama yang dikunjungi Sultan Ibrahim selepas baginda menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu, atas jemputan Presiden Xi.
Lawatan ini juga bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
Antara yang turut hadir adalah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zain dan Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik di Universiti Beijing Jiaotong, Assayidatul Afiqah Nor Hairi, 23, menyifatkan pertemuan dengan Sultan Ibrahim sebagai antara detik paling berharga dalam hidupnya.
"Saya rasa sangat bertuah bukan sahaja dapat melihat baginda, tetapi juga berinteraksi secara langsung. Ini adalah pengalaman luar biasa yang tidak dapat dilupakan. Saya sangat bangga menjadi rakyat Malaysia," katanya.
Shankar Achuthan Kutty, 53, seorang pegawai kanan syarikat, turut meluahkan rasa bangga kerana diberi peluang menghadiri Majlis Santapan bersama Seri Paduka Baginda.
"Ini adalah satu penghormatan yang luar biasa. Saya berharap kedatangan baginda dapat memperkukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan China," ujarnya penuh harapan.
Sementara itu, Amanda Ng Fui Fui, 34, anak kelahiran Kuala Krai, Kelantan, yang mewakili Persatuan Perwakilan Beijing, menyifatkan pertemuan tersebut sebagai peluang keemasan untuk bertemu dengan ketua negara.
"Saya amat bersyukur kerana dapat hadir hari ini. Ia merupakan pengalaman yang sangat bermakna dalam hidup saya," katanya dengan penuh rasa teruja.
Terdahulu, Sultan Ibrahim turut berkenan menamakan Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU) dengan nama Seri Paduka Baginda, menjadikannya sebagai Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim - satu langkah signifikan dalam mengukuhkan lagi hubungan pendidikan antara Malaysia dan China.
Agong berkenan luang masa bertemu Diaspora Malaysia di China
Terdahulu, Sultan Ibrahim pada Sabtu berkenan untuk meluangkan masa bertemu diaspora Malaysia di China.
Lebih 300 diaspora Malaysia yang hadir antaranya ahli perniagaan, penuntut universiti dan warga kedutaan Malaysia ke China.
Majlis santapan hampir sejam itu turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan tradisional negara China.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis Seri Paduka beramah mesra dan bersalaman dengan diaspora Malaysia.
Seri Paduka Baginda juga sempat bertanya khabar rakyat Malaysia di sini, yang teruja untuk bertentang mata dengan Ketua Utama Negara Malaysia.
Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong ini mencerminkan keutuhan hubungan dua hala antara Malaysia dengan China yang kian berkembang pesat, sejak dinaik taraf kepada Kerjasama Strategik Komprehensif pada 2013.
Lawatan Negara ini bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
Ini adalah lawatan rasmi pertama Yang di-Pertuan Agong ke China dalam tempoh 10 tahun, menandakan satu detik penting bagi kedua-dua negara yang merayakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.
Hari ini Sultan Ibrahim juga dijadual berangkat ke Pusat Penyelidikan Teknologi Pesawat Awam Beijing COMAC bagi meninjau perkembangan teknologi penerbangan China yang terkini.
Seri Paduka Baginda dijadual berangkat pulang ke Malaysia esok. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!