KPM diarah beri kelonggaran sekolah terjejas banjir, jadi PPS - Anwar

Anwar menyantuni Roshayati Saad yang memangku cucunya Nur Raisha Mikayla yang berusia 38 hari, ketika melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah. Foto Bernama
Anwar menyantuni Roshayati Saad yang memangku cucunya Nur Raisha Mikayla yang berusia 38 hari, ketika melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah. Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Pendidikan (KPM) diarahkan memberi kelonggaran kepada sesi persekolahan di sekolah-sekolah yang terjejas banjir dan dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, KPM boleh mengumumkan cuti tambahan kepada pelajar dan murid di sekolah terlibat sekiranya keadaan tidak mengizinkan untuk diteruskan sesi pembelajaran dan pengajaran.

Anwar berkata, bagaimanapun pelajar Tingkatan Lima yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diminta untuk kekal menjalani sesi persekolahan seperti biasa.

“Sesi sekolah serah kepada Menteri Pendidikan, kalau terbeban dengan masalah penempatan tentunya Menteri Pendidikan akan beri kenyataan supaya memberikan sedikit kelonggaran, cuti tambahan untuk pelajar.

“Tapi saya nak tekankan, ia bukan cuti tapi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), yang mana kalau ada saluran saya tidak mahu masa belajar itu dijadikan cuti," katanya.

Anwar berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah di sini pada Sabtu.

Beliau berpandangan, guru-guru mesti menetapkan kerja rumah dan pelajar dikehendaki menyiapkannya sebelum dibuka semula sesi persekolahan sekiranya tidak dapat masuk ke sekolah ketika ini.

Dalam perkembangan lain, beliau menyatakan, peruntukan berasingan juga akan disalurkan KPM kepada sekolah-sekolah yang terkesan dan mengalami kerosakan akibat banjir.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, cuti pertengahan penggal bagi Kedah berakhir pada Sabtu dijadual akan disambung semula Ahad, namun sebanyak 37 sekolah termasuk maahad tahfiz di enam daerah seluruh Kedah yang terlibat banjir masih dijadikan PPS sehingga kini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!