Pembangkang beri bayangan MoU berakhir

 Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

SHAH ALAM - Pembangkang memberi bayangan memorandum persefahaman (MoU) berhubung peruntukan ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) bakal berakhir kerana kerajaan seolah-olah tidak mengiktiraf pilihan rakyat sehingga memerlukan perjanjian.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tiada keperluan bagi PN untuk menggubal draf MoU tersebut kerana ia dianggap bukan satu langkah penambahbaikan, sebaliknya kemunduran terhadap sistem demokrasi negara.

Menurut ahli Parlimen Kubang Kerian itu, kerajaan sepatutnya menyalurkan peruntukan buat semua wakil rakyat tanpa menandatangani sebarang perjanjian kerana masing-masing telah bersumpah untuk menghormati Perlembagaan Persekutuan, undang-undang dan peraturan Dewan Rakyat.

"Satu perkara yang mengaibkan kerajaan Pusat adalah apabila negeri-negeri diperintah Pas boleh mengagihkan peruntukan tanpa sebarang perjanjian kepada semua wakil rakyat tidak kira parti kerajaan atau pembangkang.

"Parlimen dan kerajaan sepatutnya menjadi model untuk dicontohi di peringkat negeri, bukan sebaliknya.

"Kami mendesak kerajaan menunaikan janji yang telah dijadikan manifesto Pakatan Harapan (PH) atau ia akan mengesahkan bahawa kerajaan hari ini adalah pembohong," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan PN menolak cadangan MoU terbabit kerana mendakwa ia bertentangan dengan beberapa perkara termasuk berkaitan Perlembagaan Persekutuan dan mengongkong kebebasan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mendakwa, Kerajaan Perpaduan seolah-olah mahu wakil rakyat pembangkang 'melutut' untuk mendapatkan peruntukan dan dilihat memperlekehkan mandat seorang ahli Parlimen yang dipilih rakyat.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pada Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Ketua Whip Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan, pembangkang boleh mengemukakan cadangan baharu atau maklum balas mengenai draf MoU tersebut.

Jelas beliau lagi, draf sedia ada boleh menjadi asas kepada perbincangan seterusnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!