'Jangan jadi tin kosong, ambil tindakan segera terhadap GISBH' - Sultan Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan semua agensi mengambil tindakan segera terhadap kegiatan GISBH.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan semua agensi mengambil tindakan segera terhadap kegiatan GISBH.
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan semua agensi mengambil tindakan segera terhadap kegiatan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Baginda bertitah, kelewatan menangani isu tersebut menunjukkan kelemahan dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan hingga menyebabkan masalah menjadi begitu serius dan tidak terkawal.

Baginda tidak mahu pihak berwajib diumpamakan sebagai 'tin kosong' yang hanya pandai bercakap tetapi tiada hasilnya.

"Kita hendaklah berpegang kepada prinsip 'walk the talk or putting your words into action' (bertindak seperti apa yang dikata).

"Beta juga menyeru semua agensi penguat kuasa agama dan polis menjalankan penyiasatan dengan telus serta sentiasa memelihara integriti dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka," titah baginda menerusi kenyataan pada Sabtu.

Sebagai langkah pencegahan, baginda menitahkan semua rumah amal dan sekolah di bawah GISBH serta rangkaian ditutup dan tidak dibenarkan beroperasi di Selangor.

Pada masa sama baginda turut menggesa Jawatankuasa Fatwa Negeri untuk mengkaji dan meneliti bagi memutuskan amalan GISBH sama ada menyelewang atau bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.

Disamping itu, baginda turut menasihati ibu bapa dan penjaga menyemak latar belakang sekolah agama atau pusat jagaan amal sebelum menghantar anak-anak ke sana.

Artikel Berkaitan:

Langkah itu agar anak-anak tidak terjebak sekolah tidak berdaftar atau mengikuti program serta pembelajaran meragukan.

Baginda turut memberi peringatan pihak berkuasa agama untuk memandang serius isu berkaitan GISBH terutama melibatkan ajaran sesat disyaki diamalkan kumpulan itu.

Sementara itu, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, kerajaan negeri menjunjung titah Sultan Selangor.

Ujarnya, pihaknya telah menggesa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyegerakan segala tindakan yang patut untuk mengurangkan keresahan rakyat tentang isu tersebut.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan PDRM sedang memantau GISBH yang disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak.

Ia selepas pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan pengabaian kanak-kanak, amang seksual dan perbuatan cabul terhadap kanak-kanak di rumah penjagaan dipercayai milik GISBH di Negeri Sembilan dan Selangor.

Dalam perkembangan terbaharu, Razarudin Husain, seramai 200 orang yang disyaki berkait GISBH telah ditahan dalam Op Global sejak 11 September lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 139 suspek telah ditahan sebelum ini telah disambung reman dan 23 orang lagi diberi jamin polis atas sebab-sebab tertentu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!