Sisa vape ancaman terbaharu kepada pantai - Aktivis
PORT DICKSON - Bahan buangan sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) termasuk peranti dan aksesori vape menjadi ancaman terbaharu kepada pantai di daerah ini apabila sisa itu semakin banyak ditemukan setiap kali program pembersihan pantai dilakukan kebelakangan ini.
Aktivis alam sekitar yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Bangsa Prihatin Negeri Sembilan, Noor Fadzli Shah berkata, dianggarkan dua ke empat sisa vape pakai buang ditemukan setiap kali program dengan lebih 40 sisa itu dikutip setahun yang dilihat agak membimbangkan.
Beliau berkata, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan alam sekitar tetapi mengancam hidupan laut selain memberikan kesan terhadap kesihatan manusia sekiranya tidak dibendung segera.
"Vape ialah kategori atau trend baharu sekarang (sampah), setiap sampah yang kita kutip direkodkan jenis, berat dan sebagainya dari tahun ke tahun memang nampak perbezaan menunjukkan peningkatan termasuk sisa vape ini.
"Sisa e-waste (vape) di darat pun kita kena lupuskan secara khusus begitu juga di lautan, tak boleh buang sewenang-wenangnya kerana dalam vape terdapat bahan seperti bateri yang perlu dilupuskan secara berbeza. Logam berat akan mencemarkan habitat hidupan laut yang tidak bergerak seperti kupang,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian pada program pembersihan pantai dan penanaman bakau selama dua hari hingga esok yang disertai beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan universiti awam membabitkan lebih 200 peserta bersempena International Coastal Clean Up dan World Clean Up Day di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, plastik pula penyumbang terbesar bahan buangan di pantai dengan peningkatan hampir 50 peratus berbanding beberapa tahun lepas diikuti sisa makanan, kaca dan lain-lain buangan.
Noor Fadzli berkata, lebih 300 kilogram sampah dikutip dalam tempoh dua jam dalam setiap program yang diadakan termasuk plastik minuman, beg plastik, botol kaca, puntung rokok, tali pancing, jala, serpihan styrofoam dan lampin pakai buang.
"Tak kira botol, penutup botol, plastik sekali guna, ia sangat di luar kawalan, kita memang memerlukan aktiviti perniagaan untuk rancakkan ekonomi setempat tetapi pada masa sama pemantauan lebih kerap perlu dilakukan untuk membendung masalah pembuangan sampah oleh orang ramai,” katanya.
Mengenai program hari ini, beliau berkata, ia bertujuan memupuk kesedaran orang ramai supaya terus menjaga kebersihan kawasan pantai dan memelihara keindahan alam sekitar berikutan pantai Port Dickson sentiasa menjadi tarikan pengunjung dari dalam dan luar negeri.
Beliau turut berharap aktiviti alam sekitar seumpama itu turut dimasukkan dalam kalendar acara pelancongan Negeri Sembilan.
Sementara itu, pekerja syarikat konsensi sisa pepejal dan pembersihan awam Hamrin Berlian, 53, turut mengakui sisa vape antara kerap ditemukan apabila melakukan kerja pembersihan di kawasan pantai terutama di kawasan batu dan dalam air. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!