Sikap pemimpin senior PN merugikan wakil rakyat baharu - Mujahid

Mujahid
Mujahid
A
A
A

IPOH - Sikap segelintir pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang menjadikan perjanjian persefahaman (MoU) mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang sebagai isu politik sesuatu yang merugikan.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, sikap itu menggagalkan usaha membina demokrasi berparlimen yang lebih berwibawa melalui semak imbang pembangkang yang objektif dalam membina dasar-dasar negara.

Menurutnya, MoU yang digambarkan pembangkang untuk menyekat kebebasan bersuara sebenarnya bertujuan membendung perbahasan Ahli Parlimen yang menggunakan hujahan perkauman dan kebencian kaum.

"MoU dengan pembangkang yang hebat diperkatakan telah menjadi isu politik toksik dengan pihak pembangkang membina persepsi memburukkan imej dan peranan demokrasi berparlimen.

"Sikap PN terhadap MoU ini bukan saja merugikan Ahli Parlimen PN yang pertama kali menjadi wakil rakyat tetapi juga telah mendedahkan wajah sebenar sebahagian pimpinan PN yang terdesak isu lalu mereka jadikan MOU ini sebagai modal murahan politik mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mujahid berkata, kebebasan bersuara mestilah beradab dalam mengemukakan perbezaan pandangan yang membina demi menjaga nama baik institusi Parlimen.

Menurutnya, suasana demokrasi berparlimen yang matang dan bertanggungjawab merupakan pra-syarat utama kepada wujudnya perundangan yang lebih mampan.

Dalam pada itu, beliau turut kecewa apabila keikhlasan inisiatif MoU berkenaan turut dicemari dengan pendedahan pra-matang pembangkang yang mengelirukan orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, hasrat suci MoU tersebut sebenarnya mahu memastikan kestabilan politik bersama pembangkang yang sihat dan berwibawa.

"Ketika menjadi pembangkang, PH (Pakatan Harapan) menerima MoU secara berlapang dada dan berbincang dengan cara terhormat kerana PH tiada masalah ucapan kebencian terhadap kaum dan agama.

"Malah ketika itu PH sebagai pembangkang mendesak penggubalan akta anti- lompat parti dijadikan secara asas syarat penerimaan MoU semasa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata, sikap beberapa pemimpin pembangkang yang penting diri telah menggagalkan usaha membina demokrasi berparlimen yang lebih berwibawa.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan PN menolak cadangan MoU terbabit kerana mendakwa ia bertentangan dengan beberapa perkara termasuk berkaitan Perlembagaan Persekutuan dan mengongkong kebebasan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mendakwa, Kerajaan Perpaduan seolah-olah mahu wakil rakyat pembangkang 'melutut' untuk mendapatkan peruntukan dan dilihat memperlekehkan mandat seorang ahli Parlimen yang dipilih rakyat.

Bagaimanapun, pada Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Ketua Whip Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan, pembangkang boleh mengemukakan cadangan baharu atau maklum balas mengenai draf MoU tersebut.

Jelas beliau lagi, draf sedia ada boleh menjadi asas kepada perbincangan seterusnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!