Belanjawan 2025: Mindef harap peruntukan meningkat

Adly (kiri) melakukan pemeriksaan kesihatan di kaunter yang dibuka pada Program Veteran Desa Madani di Rantau Panjang.
Adly (kiri) melakukan pemeriksaan kesihatan di kaunter yang dibuka pada Program Veteran Desa Madani di Rantau Panjang.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Kementerian Pertahanan (Mindef) mengharapkan peruntukan lebih banyak diberikan melalui Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, perkara itu penting untuk kementerian terbabit fokus dalam pemerkasaan kedaulatan tanah air.

“Sememangnya kami mahu diberikan keutamaan oleh kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MoF) dan peningkatan peruntukan kepada Mindef.

“Peruntukan ini bagi pelaksanaan beberapa perancangan termasuk pembelian aset, penambahbaikan perkhidmatan dan keperluan-keperluan anggota pertahanan negara,” katanya pada Program Veteran Desa Madani di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 2, di sini, pada Sabtu.

Menurut beliau, hasrat itu juga sudah disampaikan kepada MoF dan menjangkakan sesi libat urus sudah selesai dilakukan.

Pada Belanjawan 2024, Mindef menerima peruntukan RM19.7 bilion.

Dalam perkembangan lain, pihaknya bersama Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) melaksanakan Program Veteran Desa Madani sebagai platform kerjasama antara kementerian dan kerajaan negeri dalam usaha untuk menyampaikan bantuan kebajikan kepada veteran-veteran terpilih.

“Program ini fokus dalam membantu golongan veteran asnaf dan B40 merangkumi aspek kebajikan kesihatan, perumahan, pendidikan dan ekonomi.

Artikel Berkaitan:

“Program memenuhi aspirasi Mindef yang sentiasa responsif, prihatin dan komited dalam menjaga kesejahteraan serta kebajikan veteran ATM,” katanya.

Sementara itu, Adly berkata, Mindef akan menyelaraskan bantuan daripada veteran ATM kepada mangsa banjir di Kelantan pada hujung tahun ini.

Katanya, kementeriannya ada menerima permohonan veteran ATM berhubung perkara ini dan beliau amat menghargainya.

"Ya, mereka (veteran ATM) ada menyatakan permohonan kepada MINDEF dan kita akan cuba selaraskan veteran ATM yang berminat untuk membantu mangsa banjir.

"Sebelum ini mereka ada membantu mangsa banjir, namun ia merupakan inisiatif veteran ATM masing-masing dan pada kali ini mereka ingin membantu," katanya.

Adly berkata, aset-aset logistik ATM antaranya bot-bot dan kenderaan darat berada dalam keadaan bersiap-siaga untuk menghadapi banjir di negeri ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!