Komuniti Madani berperanan jadi perantara kerajaan, rakyat

Dr Taufik (tengah) ketika merasmikan Karnival Kita Madani Peringkat Negeri Kedah di Dataran Bandar Perdana Sungai Petani dekat sini hari ini. Foto Bernama
Dr Taufik (tengah) ketika merasmikan Karnival Kita Madani Peringkat Negeri Kedah di Dataran Bandar Perdana Sungai Petani dekat sini hari ini. Foto Bernama
A
A
A
SUNGAI PETANI - Komuniti Madani berperanan sebagai perantara bagi kerajaan dan rakyat dalam usaha memastikan dasar dan polisi yang ingin dilaksanakan adalah selaras dengan keperluan dan kepentingan rakyat.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufik Johari berkata, Komuniti Madani menjadi platform menyalurkan informasi terkini dan sahih mengenai dasar-dasar serta inisiatif-inisiatif kerajaan supaya ia sampai ke pengetahuan rakyat secara bersasar dan berterusan.

"Dalam masa sama, Komuniti Madani ini juga berperanan membawa suara rakyat di peringkat akar umbi untuk disampaikan pula kepada pihak kerajaan.

"Dengan wujudnya Komuniti Madani, lebih terarah polisi dan dasar ingin dilaksanakan kerajaan, malah jika ada maklumat kerajaan yang belum diketahui rakyat, mereka berperanan menyalurkannya kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kita Madani Peringkat Negeri Kedah di Dataran Bandar Perdana Sungai Petani dekat sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pegawai Daerah Kuala Muda, Datuk Abdul Gafar Yahya.

Beliau berkata sebanyak 108 Komuniti Madani telah ditubuhkan di Kedah merangkumi 36 kawasan Dewan Undangan Negeri.

"Saya berharap agar Komuniti Madani dapat memainkan peranan sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat, sekali gus menjadi jentera komunikasi dalam menyalurkan maklumat yang sahih kepada masyarakat," katanya.

Sementara itu, beliau menyatakan lebih 3,000 pengunjung hadir memeriahkan program terbabit yang berlangsung sejak jam 8 pagi sehingga 5 petang.

"Terdapat lebih 20 gerai pameran jabatan dan agensi kerajaan serta swasta turut berkolaborasi sepanjang program, malah terdapat lebih 20 gerai jualan termasuklah Program Jualan Rahmah.
Artikel Berkaitan:


"Antara aktiviti yang berlangsung termasuklah Ceramah Budi Madani, Jualan Rahmah (AGRO), pameran dan perkhidmatan daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Penjara, Jabatan Kesihatan, zakat dan bayaran saman dengan diskaun 30 peratus oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta sukan rakyat," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!