Banjir makin buruk di Kedah, jumlah mangsa meningkat

Orang ramai khususnya mereka yang terjejas banjir di sekitar Kampung Suka Menanti beratur bagi mengambil makanan percuma yang disediakan oleh salah seorang peniaga makanan di kampung itu. Foto Bernama
Orang ramai khususnya mereka yang terjejas banjir di sekitar Kampung Suka Menanti beratur bagi mengambil makanan percuma yang disediakan oleh salah seorang peniaga makanan di kampung itu. Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Situasi banjir yang melanda Kedah yang memasuki hari kelima dikhuatiri makin buruk dengan peningkatan mendadak jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 1 petang, Sabtu.

Sehingga kini, jumlah keseluruhan mangsa banjir di negeri ini yang dipindahkan ke 43 pusat pemindahan sementara (PPS) telah mencecah 7,839 mangsa daripada 2,477 keluarga melibatkan enam daerah iaitu Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang, Kuala Muda, Bandar Baharu dan Pokok Sena.

Jumlah itu meningkat berbanding 7,469 mangsa daripada 2,420 keluarga yang direkodkan setakat jam 8 pagi hari sama.

Berdasarkan Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Kota Setar mencatatkan peningkatan kepada 3,470 mangsa daripada 1,131 keluarga berbanding 3,292 mangsa daripada 1,072 keluarga pagi yang ditempatkan di 14 PPS di kawasan itu.

Selain itu, daerah Kubang Pasu turut mencatatkan pertambahan apabila seramai 1,869 mangsa daripada 597 keluarga berbanding 1,811 mangsa daripada 664 keluarga ditempatkan di 11 PPS.

Bagi daerah Pendang,jumlah mangsa direkodkan turut meningkat kepada 1,291 mangsa daripada 385 keluarga berbanding 1,127 mangsa daripada 329 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS.

Daerah Bandar Baharu pula meningkat kepada 138 mangsa daripada 32 keluarga berbanding 128 mangsa daripada 29 keluarga sebelum ini.

Untuk daerah Pokok Sena pula merekodkan penurunan mangsa kepada 889 mangsa daripada 272 keluarga berbanding 952 mangsa daripada 290 keluarga di lima PPS di daerah itu pada pagi Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Untuk daerah Kuala Muda, jumlah dicatatkan masih kekal kepada 184 mangsa daripada 61 keluarga di tiga PPS daerah itu.

Dalam pada itu, berdasarkan laporan melalui laman web Public Infobanjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan empat sungai di dua daerah di negeri ini mencatatkan paras air melebihi tahap bahaya setakat ini.

Jumlah itu membabitkan dua sungai di daerah Kota Setar manakala dua lagi sungai di daerah Kubang Pasu.

Bagaimanapun, Sungai Padang Terap di Kepala Batas di daerah Kubang Pasu menunjukkan trend menurun manakala tiga lagi sungai iaitu Sungai Bata di daerah Kubang Pasu dan dua lagi sungai iaitu Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR di Kota Setar menunjukkan trend meningkat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!