Lelaki ditahan di Itali berhubung kes pembunuhan Easey Street 1977

Pihak berkuasa Australia kini sedang memohon perintah ekstradisi bagi membawa suspek kembali ke Melbourne - Foto: AFP
Pihak berkuasa Australia kini sedang memohon perintah ekstradisi bagi membawa suspek kembali ke Melbourne - Foto: AFP
A
A
A

SYDNEY - Seorang lelaki berusia 65 tahun ditahan di Itali berhubung kes pembunuhan dua wanita di Melbourne pada 1977, lapor Xinhua.

Polis Victoria pada Sabtu mengesahkan penahanan seorang lelaki yang memiliki dua kewarganegaraan Yunani-Australia di Lapangan Terbang Rom pada Khamis lalu.

Waran tangkap dikeluarkan terhadap suspek selepas siasatan selama beberapa dekad berhubung pembunuhan Suzanne Armstrong, 27, dan Susan Bartlett, 28.

Menurut kenyataan polis, pihak berkuasa kini sedang memohon perintah ekstradisi bagi membawa suspek kembali ke Melbourne.

Armstrong dan Bartlett, yang tinggal serumah ditemukan mati di kediaman mereka di pusat bandar Melbourne pada 13 Januari 1977.

Kedua-dua wanita itu kali terakhir dilihat pada 10 Januari sebelum ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman.

Anak lelaki Armstrong yang berusia 16 bulan ditemukan di dalam bilik lain dalam keadaan tertekan dan dehidrasi, namun tidak dicederakan.

Kes ini dikenali sebagai 'Pembunuhan Easey Street' dan merupakan antara kes berprofil tinggi dalam sejarah Australia.

Artikel Berkaitan:

Pesuruhjaya Polis Victoria, Shane Patton dalam kenyataan rasminya menyifatkan penahanan itu sebagai satu pencapaian besar dalam siasatan yang lama tertangguh.

"Pembunuhan Easey Street sentiasa menjadi keutamaan Polis Victoria, dan usaha luar biasa dilakukan oleh ramai pihak untuk sampai ke tahap ini.

"Walaupun masih banyak langkah yang perlu diambil, penahanan ini adalah satu kejayaan penting," katanya.

Pada 2017, Polis Victoria menawarkan ganjaran sebanyak 1 juta dolar Australia (AS$680,802) kepada sesiapa yang boleh memberikan maklumat baharu yang membawa kepada penangkapan dan sabitan kes.

Polis Victoria pada Sabtu turut menyeru orang awam yang mempunyai maklumat lanjut mengenai pembunuhan agar tampil ke hadapan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!