Banjir: Lebih 5,800 hektar tanaman padi terjejas, nilai kerugian RM32 juta

Pandangan dari udara kawasan yang ditenggelami air ketika tinjauan situasi banjir dekat Jitra, Kedah. Foto Bernama (Gambar kecil: Mohamad Sabu)
Pandangan dari udara kawasan yang ditenggelami air ketika tinjauan situasi banjir dekat Jitra, Kedah. Foto Bernama (Gambar kecil: Mohamad Sabu)
A
A
A

PUTRAJAYA - Seluas 5,822.59 hektar tanaman padi telah terjejas akibat banjir, dengan anggaran kerugian hasil padi mencecah RM32 juta di negeri-negeri utara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementerian telah mengambil langkah untuk membantu petani, penternak, dan nelayan yang terkesan dengan bencana tersebut.

Beliau berkata, bantuan pasca bencana akan disalurkan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) bagi tanaman padi, serta Tabung Bencana Pertanian (TBP) untuk aktiviti agromakanan lain.

"Selain bantuan tersebut, hari ini AgroBank turut mengumumkan tawaran moratorium kepada para pelanggannya yang terjejas akibat banjir yang berlaku sekarang ini.

"Para petani, penternak, nelayan dan usahawan yang terlibat boleh memohon untuk mendapatkan kemudahan ini di cawangan AgroBank yang terdekat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad berkata, bilik gerakan bencana Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di peringkat daerah dan negeri sedang memantau keadaan cuaca, membuat hebahan awal kepada golongan sasar dan melaksanakan pelan mitigasi bagi mengurangkan kerugian kepada sektor agromakanan negara.

Beliau berkata, KPKM juga telah mengarahkan KPKM Inc. mengadakan libat urus bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi memastikan maklumat berhubung penyelarasan bencana banjir di peringkat daerah dan negeri sentiasa dikemas kini dan disampaikan kepada kumpulan sasar terutama bagi kawasan yang berisiko mengalami bencana.

Katanya, KPKM juga bersedia untuk menggerakkan aset-aset yang diperlukan bagi membantu usaha-usaha menyelamat semasa banjir, sekiranya perlu dan setelah mendapat kebenaran daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!