Amaran kecemasan dikeluarkan berikutan kebakaran belukar di pantai utara Sydney

Asap tebal kelihatan dari kebakaran belukar di Oxford Falls berhampiran Dee Why, Sydney, Australia. Foto EPA
Asap tebal kelihatan dari kebakaran belukar di Oxford Falls berhampiran Dee Why, Sydney, Australia. Foto EPA
A
A
A

SYDNEY - Amaran kecemasan dikeluarkan bagi kebakaran belukar yang tidak terkawal di pantai utara Sydney pada Sabtu sementara anggota bomba dan pesawat pengebom air berusaha untuk memperlahankan penularan kebakaran di kawasan itu, lapor Xinhua.

Perkhidmatan Bomba Luar Bandar (RFS) di negeri New South Wales, Australia mengeluarkan amaran bagi kawasan Cromer Heights, di utara Sydney, akibat kebakaran belukar yang besar.

Penduduk Cromer Heights diberi amaran untuk mencari perlindungan secepat mungkin selepas kebakaran belukar berhampiran Oxford Falls merebak ke timur berikutan tiupan angin kencang.

RFS kemudian menaikkan amaran kepada tahap kecemasan, iaitu tahap tertinggi.

Ia menasihatkan penduduk di kawasan terlibat supaya berlindung di bangunan kukuh seperti rumah ketika kebakaran menghampiri, sambil berkata "Sudah terlambat untuk keluar.”

Rakaman video dan gambar kebakaran menunjukkan kepulan asap yang besar di kawasan itu serta cahaya jingga di langit dari komuniti persaraan tempatan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!