JIM akan laksana 6 reformasi proses kerja, penyampaian perkhidmatan

Shamsul Anuar
Shamsul Anuar
A
A
A

PUTRAJAYA - Pusingan kerja untuk ketua, penyelia dan pegawai imigresen akan dilaksanakan segera untuk pegawai yang telah berkhidmat lebih daripada tiga tahun, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata, langkah itu antara enam tindakan reformasi proses kerja dan penyampaian perkhidmatan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, pegawai-pegawai berkaitan telah dikenal pasti dan arahan pertukaran akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan operasi harian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak terjejas.

"Untuk langkah kedua ialah menyemak dan menambah baik semua prosedur operasi standard (SOP) yang meliputi aspek pengurusan kawalan keselamatan pintu masuk, pengurusan cap keselamatan dan pengurusan pemeriksaan pelawat bagi menutup ruang dan peluang untuk pegawai memanipulasikan, dan mengambil kesempatan atas ruang-ruang yang ada.

"Langkah ketiga yang diambil JIM ialah meningkatkan penyeliaan dan pemantauan termasuk pemeriksaan mengejut ke atas ketua-ketua kumpulan dan pegawai bagi memastikan pematuhan arahan yang berkuat kuasa yang akan dilaksanakan secara berterusan oleh pegawai integriti dan penyelia," katanya.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil bagi pegawai yang melanggar arahan.

Shamsul Anuar berkata, langkah seterusnya menambah baik sistem bagi membolehkan pemantauan dibuat ke atas transaksi yang dilakukan secara harian bagi mengesan transaksi-transaksi yang mencurigakan.

Langkah kelima iaitu mempercepat proses pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang dilengkapi dengan visual dan audio di lokasi-lokasi strategik bagi pemantauan berterusan di bilik kawalan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, yang terakhir meningkatkan kerjasama strategik dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan lain-lain agensi dari semasa ke semasa.

Pada 18 September lepas, SPRM menyenaraikan 11 kelemahan utama membabitkan JIM sehingga membuka ruang kepada sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi 'counter setting'. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!