Seorang maut, 7 hilang di Ishikawa, Jepun berikutan hujan lebat

JMA pada awal hari ini mengeluarkan amaran tertinggi bagi hujan lebat di Bandar Wajima, Suzu dan Pekan Noto. Foto Agensi
JMA pada awal hari ini mengeluarkan amaran tertinggi bagi hujan lebat di Bandar Wajima, Suzu dan Pekan Noto. Foto Agensi
A
A
A

TOKYO - Seorang maut manakala tujuh lagi hilang selepas hujan luar biasa melanda Wilayah Ishikawa, Jepun pada Sabtu, lapor Xinhua memetik media tempatan.

Pihak berkuasa wilayah itu berkata seorang maut dan tujuh orang hilang selepas dihanyutkan air sungai di Suzu, Wajima dan Noto, tiga kawasan perbandaran yang amaran kecemasan hujan lebat telah dikeluarkan, lapor penyiar awam NHK.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) pada awal hari ini mengeluarkan amaran tertinggi bagi hujan lebat di Bandar Wajima, Suzu dan Pekan Noto.

Banyak rumah di kawasan terlibat dilanda banjir, dengan sekitar 3,100 rumah di Wajima, 1,200 di Suzu dan 960 di Noto mengalami gangguan bekalan elektrik, menurut laporan itu.

Sebanyak 11 sungai di wilayah itu yang airnya melimpah keluar dari tebing menyebabkan lebih 6,000 rumah terputus bekalan elektrik, katanya lagi.

Pegawai JMA Satoshi Sugimoto berkata: "Tahap hujan sebegini tidak pernah dialami di rantau ini. Penduduk mesti segera memastikan keselamatan mereka. Risiko terhadap nyawa adalah sangat serius.”

Kementerian Pertahanan telah menghantar anggota Angkatan Pertahanan Diri ke Wajima, Suzu dan Noto, selepas menerima permintaan daripada Wilayah Ishikawa, menurut laporan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!