430,000 peminjam PTPTN langsung tak bayar berdepan tindakan

Zambry
Zambry
A
A
A

MANJUNG - Kementerian Pendidikan Tinggi sedang mempertimbangkan beberapa tindakan termasuk berkaitan undang-undang terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang langsung tidak membayar semula pinjaman mereka sebelum ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sehingga kini seramai 430,000 peminjam yang masih gagal dikesan belum membayar balik pinjaman tersebut.

Menurut beliau, perkara itu amat serius kerana melibatkan jumlah yang besar iaitu sebanyak RM6 bilion.

"Saya tidak merujuk kepada mereka yang sedang membayar ataupun yang lari sekejap, kurang bayar sekejap ini, tetapi yang kita maksudkan ialah mereka yang langsung dan sejak hari pertama sampailah sekarang tak peduli untuk membayar.

"Saya mengingatkan kepada mahasiswa-mahasiswi kita akan tanggungjawab moral kita iaitu wang ini adalah bentuk wang pinjaman nanti apabila selepas mereka belajar, mereka sudah pun mendapat pekerjaan yang baik, laksanakanlah tanggungjawab moral kita kerana wang itu apabila mereka bayar balik, kita akan gunakan untuk membantu generasi yang akan datang pula," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Pengarah PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed.

Sementara itu Zambry berkata, perkara tersebut akan diteliti secara mendalam dan dibawa ke kabinet untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, PTPTN masih menggunakan pendekatan berhemah dalam memastikan peminjam membayar balik pinjaman tersebut.

"Saya ingin tegaskan sekali lagi, kita tetap berhemah. Kita faham keadaan tetapi saya nak supaya mereka ini datanglah ceritakan keadaan mereka.

"Tetapi dalam berhemah mereka juga perlulah mempunyai tanggungjawab moral untuk laksanakan dan kita akan melihat apakah tindakan-tindakan yang akan kita umumkan langkah-langkah seterusnya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zambry menyerahkan siasatan berhubung isu GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) kepada pihak polis jika terdapat pensyarah mahupun pelajar yang terlibat.

Menurutnya, perkara itu merupakan bidang kuasa pihak keselamatan terutama polis.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!