Polis gempur markas GISBH, kanak-kanak tular dirotan diselamatkan

Seramai 186 orang mangsa terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita telah berjaya diselamatkan termasuk seorang kanak-kanak yang tular di media sosial sedang dirotan oleh seorang lelaki dipercayai ahli GISBH.
Seramai 186 orang mangsa terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita telah berjaya diselamatkan termasuk seorang kanak-kanak yang tular di media sosial sedang dirotan oleh seorang lelaki dipercayai ahli GISBH.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 155 individu termasuk 77 wanita yang disyaki terlibat dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) ditahan dalam Op Global di Semenanjung Malaysia pada Sabtu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua individu itu ditahan dalam serbuan di 82 premis melibatkan rumah amal, klinik premis perniagaan, ma’ahad dan rumah persendirian.

"Kesemua tangkapan telah dibawa ke formasi masing-masing dan disiasat dibawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan migran 2007," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Razarudin berkata, dalam operasi sama seramai 186 orang mangsa terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita telah berjaya diselamatkan termasuk seorang kanak-kanak yang tular di media sosial sedang dirotan oleh seorang lelaki dipercayai ahli GISBH.

"Kita bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berjaya membuat beberapa rampasan termasuk risalah mengandungi elemen-elemen yang dipercayai bercanggah dengan ajaran agama Islam serta barang khurafat," katanya.

Antara barangan yang dirampas dalam Op Global, pada Sabtu.
Antara barangan yang dirampas dalam Op Global, pada Sabtu.

Beliau berkata, seramai 2,528 pegawai dan anggota polis serta 1,273 kakitangan

agensi kerajaan yang lain antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jakim, Jabatan Kimia dan Jabatan Pendaftaran Negara terlibat dalam fasa 4 Op Global itu.

Artikel Berkaitan:

"Melalui operasi yang dijalankan juga, kita mendapati beberapa premis yang diserbu telah kosong dipercayai ahli GISBH telah melarikan diri.

"Mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta untuk tampil membuat laporan di balai polis berhampiran bagi melengkapkan siasatan," ujarnya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan pihak berkuasa telah melakukan pemeriksaan terhadap beberapa individu termasuk kanak-kanak dalam serbuan Op Global di pusat perniagaan GISBH di Bandar Country Homes, Rawang di sini, untuk siasatan lanjut.

Difahamkan, kesemua mereka terdiri daripada wanita, remaja dan kanak-kanak berusia sekitar tujuh sehingga 50-an.

Mereka ditemukan dalam premis perniagaan dan kediaman di pusat perniagaan yang dimiliki GISBH semasa serbuan dijalankan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Operasi oleh Polis Kontinjen Selangor bersama Polis Simpanan Persekutuan (PSP) turut dibantu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Dalam operasi bermula jam 6.30 pagi itu puluhan lot premis perniagaan seperti restoran, kedai dobi, kedai pencetakan, poliklinik, hotel, bakeri, pusat khidmat media, butik dan galeri disyaki milik GISBH.

Dalam operasi sama, pihak MPS turut merobohkan beberapa struktur binaan haram selain menyita premis-premis perniagaan dimiliki GISBH yang didapati tidak berlesen.

Selain di Bandar Country Homes, Op Global yang dijalankan di seluruh negara oleh Bukit Aman dan Polis Kontinjen Negeri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!