Rumah pempengaruh gajet terbakar gara-gara 'power bank' meletup

Tangkap layar hantaran video yang dimuatnaik Amad di TikTok pada Jumaat.
Tangkap layar hantaran video yang dimuatnaik Amad di TikTok pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pempengaruh gajet, Amad Zahry tergamam apabila sebahagian rumahnya musnah dijilat api dipercayai berpunca daripada pengecas mudah alih atau 'power bank' yang meletup secara tiba-tiba.

Menerusi beberapa hantaran video dimuatnaik di TikTok, Amad mendakwa api mulai merebak apabila letupan ‘power bank’ tersebut menyambar langsir bilik utama rumah teresnya sehinggakan gajet lain seperti telefon bimbit dan komputer turut hangus terbakar.

Menurut pemuda terbabit, kejadian sekitar jam 1.30 pagi itu juga memusnahkan ruang studio kerja yang menempatkan koleksi gajet dan anggaran kerugian difahamkan mencecah RM20,000.

“Tak sempat basahkan kain untuk padam (api), asap hitam dah penuh dalam bilik. Sempat selamatkan telefon bimbit untuk hubungi Bomba.

“Bomba cepat sampai. Tetapi, api marak sampai pecah atap rumah, Alhamdulillah tak ada kecederaan.

“Hanya mampu tengok sahaja, semua hilang,“ katanya pada Jumaat.

Setakat jam 6 petang Sabtu, video kebakaran rumahnya yang terletak di Cheng, Melaka mendapat lebih 1.7 juta tontonan, 98,000 tanda suka dan 9,599 perkongsian daripada warganet.

Mengintai di ruangan komen, majoritinya menzahirkan rasa simpati dengan nasib menimpa pemuda berkenaan dan mendoakan agar urusannya dipermudahkan ALLAH SWT.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, tidak kurang juga yang turut berkongsi kaedah untuk melupuskan barangan elektrik dan elektronik (e-waste) secara mesra alam.

“Semoga dipermudahkan segala urusan dan dimurahkan rezeki Abang Amad. Waktu akan datang, setiap rumah kena ada alat pemadam api, mungkin dapat membantu sebelum api marak,“ kata Helmie Mohammad.

“Dalam banyak-banyak (terbakar), yang paling penting al-Quran tak terbakar Allahu Akbar. Semoga ada rezeki lain, insya-ALLAH,“ ujar Hanafi J.

“Kalau 'power bank' lama tak digunakan pun tak boleh lupus sewenang-wenangnya di tempat pembuangan sebab pernah ada kes meletup terkena muka pengutip sampah. Wajib lupus dengan cara betul seperti hantar ke pusat berdaftar,“ ulas Ririn Ramli pula.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!