Empat premis GISBH di Pulau Pinang diserbu, enam kitab Al-Arqam dirampas
GEORGE TOWN - Empat premis milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di negeri ini diserbu dalam operasi bersepadu yang dijalankan pada Sabtu.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) bersama polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, serbuan dilakukan di sebuah rumah jagaan di Nibong Tebal dan tiga lagi premis di Bukit Mertajam.
Menurutnya, di Bukit Mertajam, serbuan dilakukan di sebuah rumah jagaan, kedai kek dan roti dan kedai runcit.
Beliau berkata, hasil serbuan ke lokasi tersebut, JHEAIPP telah merampas enam buah kitab, buku yang disyaki berkaitan dengan Al-Arqam yang mana buku-buku ini telah diharamkan.
"Kesalahan ini berkait dengan peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang (EKJSNPP 1996) iaitu Seksyen 13(1)(b), ada dalam miliknya apa-apa buku, risalah, dokumen atau bentuk lain rakaman sedemikian.
"Pada masa ini, siasatan masih dijalankan dan pihak berkuasa sedang meneliti semua bukti yang diperoleh," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mohamad yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat Pulau Pinang berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang atau salah laku yang melibatkan premis atau operasi GISB.
"Saya ingin menegaskan bahawa dalam menangani isu ini, Kerajaan Pulau Pinang komited untuk memastikan bahawa setiap tindakan yang diambil adalah berasaskan fakta dan bukti yang sahih.
"Kami tidak akan membuat sebarang keputusan secara tergesa-gesa atau berdasarkan spekulasi.
"Oleh itu, semua pihak dinasihatkan agar tidak terlibat dalam penyebaran maklumat yang tidak tepat atau fitnah yang boleh mencetuskan kekeliruan dan ketegangan dalam masyarakat," tambahnya.
Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) turut mengingatkan masyarakat bahawa isu ini bukan hanya melibatkan entiti korporat malah menyentuh aspek kepatuhan terhadap undang-undang dan prinsip moral yang dijunjung.
"Oleh itu, penting bagi semua pihak untuk mematuhi undang-undang dan beroperasi dengan integriti.
"Kerajaan Negeri akan terus memantau perkembangan siasatan ini dengan teliti dan akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam memastikan isu ini diselesaikan secara adil dan saksama.
"Jika terdapat sebarang perkembangan lanjut, kita akan memaklumkan kepada pihak awam. Mari lah kita berdoa agar kebenaran terbongkar dan sebarang masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan bijaksana serta berlandaskan keadilan.
"Semoga kita semua dijauhkan daripada segala fitnah dan diberi kekuatan untuk berpegang kepada kebenaran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!