Sze Fei-Nur Izzuddin mara ke final Terbuka China
BEREGU lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menampilkan aksi memukau untuk menempah tiket ke perlawanan akhir Terbuka China di Pusat Sukan Olimpik Changzhou.
Pilihan ketujuh kejohanan itu menewaskan gandingan dari Indonesia Shohibul Fikri-Daniel Marthin dalam pertarungan straight set 21-14 24-22 pada Sabtu.
Mereka akan menanti pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara wakil tuan rumah He Ji Ting-Ren Xiang atau bakal bertemu sesama sendiri dengan satu lagi pasangan beregu profesional lelaki negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di perlawanan akhir.
Jika Yew Sin-Ee Yi berjaya menewaskan Ji Ting- Ren Xiang, ia bermakna tiga wakil negara bakal berada di pentas final kejohanan Super 1000 di China itu.
Ia selepas pasangan beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai turut mengesahkan tempat ke perlawanan akhir selepas menumpaskan wakil tuan rumah Cheng Xing-Zhang Chi pada aksi sebelah pagi.
Pasangan suami isteri di ranking ke-12 dunia itu menang 21-18 dan 21-18 untuk menempah pertemuan dengan satu lagi pasangan dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!