KPDN kenal pasti 38 stesen minyak jual secara luar biasa

Armizan
Armizan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengenal pasti 38 buah stesen minyak di seluruh negara yang mencatatkan rekod tertinggi penjualan minyak diesel dan RON95 secara luar biasa.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebahagian besar lokasi stesen minyak yang terlibat didapati terletak di daerah-daerah sempadan negara.

“Daripada jumlah tersebut, tujuh stesen minyak melibatkan kawasan Sabah dan tujuh lagi stesen di Sarawak.

“Pendekatan tambahan dilaksanakan untuk memantau dan membuat pemeriksaan ke atas stesen-stesen minyak dengan jumlah jualan bahan api yang amat tinggi,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, ujar Armizan, kementeriannya telah menahan 531 individu, merampas barang kawalan dan bersubsidi dengan jumlah keseluruhan bernilai RM81.4 juta menerusi Ops Tiris 3.0 bermula 1 Januari hingga 19 September lalu.

Menurut beliau, operasi itu membabitkan 31,762 pemeriksaan di seluruh negara dan merekodkan 2,121 kes daripada jumlah tersebut.

Ulasnya, tumpuan khusus diberikan oleh kementerian termasuk dari segi pemantauan berhubung ketirisan subsidi bahan api diesel dan petrol RON95 melalui aktiviti penyelewengan serta penyeludupan.

“Bagi Sarawak, daripada 2,157 pemeriksaan yang telah dilakukan, terdapat 151 kes dengan tangkapan 15 individu melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM20.99 juta.

Artikel Berkaitan:

“Manakala bagi Sabah, 1,899 pemeriksaan telah dijalankan. Daripada jumlah berkenaan, 287 kes telah dicatatkan melibatkan nilai rampasan keseluruhan RM7.05 juta dan penangkapan 21 individu,” ujarnya.

Tambah Armizan, sebanyak 538 pemeriksaan turut dilakukan di Labuan dan terdapat 17 kes melibatkan nilai rampasan keseluruhan RM1.28 juta.

Jelasnya, siasatan dan tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

“KPDN akan terus bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan aktiviti penyeludupan serta ketirisan dapat dibendung dengan lebih berkesan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!